BATIK antara jenis ketam Vampire Crab dengan motif unik.
BATIK antara jenis ketam Vampire Crab dengan motif unik.
Nurul Husna Mahmud


VAMPIRE crab adalah nama spesies ketam hiasan yang kian menjadi pilihan peminat hidupan akuatik.

Semestinya nama itu mengundang rasa seram dan gerun sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Namun sebaik meneliti spesies ketam air tawar itu, lain pula ceritanya. Saiz yang hanya mampu membesar sekitar tiga hingga empat sentimeter (cm) dan tabiatnya suka menyorok tentu sahaja sepadan dengan 'pontianak' yang gemar menyembunyikan diri.

Menurut peminat dan penggiat akuaskap yang memiliki koleksi hidupan akuatik eksotik sejak 13 tahun lalu, Yap Kiat Fuil, nama 'vampire' itu diberi kerana warna gelap dan kemerahan-merahan selain matanya yang putih seperti rupa pontianak.

"Ketam ini bukanlah 'menghisap darah' atau menggigit. Ia diberi jolokan 'pontianak' kerana tona warna kebanyakan spesies ini adalah kombinasi warna gelap dan merah.

"Karakter ketam ini tidak agresif dan saiznya juga kecil sesuai untuk mereka yang mahu memulakan hobi pelihara hidupan akuatik.

"Saya sendiri mula mengetahui ketam hiasan air tawar ini kira-kira pada November 2022. Ia antara spesies menarik untuk dipelihara terutama penggiat akuaskap," katanya.

Kata Yap yang juga pemilik YL Aquayic Studio, spesies ketam Vampire crab itu dipercayai berasal dari hutan negara Jiran, seperti Kalimantan.

Habitat asal tidak jauh berbeza dengan persekitaran di Malaysia menjadikannya antara hidupan akuatik yang ideal untuk dipelihara di dalam rumah.

"Habitat asalnya dipercayai dari kawasan berair di hutan tropika di Indonesia. Ciri-ciri unik ketam ini juga kebanyakan masa hidup di darat berbanding air.

"Pemain akuaskap yang menggunakan elemen paludarium iaitu merujuk kepada akuaskap seni gabungan akuatik dan teres tumbuhan dengan minimal medium lebih terdorong pelihara ketam hiasan ini.

"Dengan sedikit daratan sama ada batu, lumut dan hiasan berongga menjadi tempat persembunyian ketam, pemilik boleh mula pelihara hidupan akuatik terbabit," katanya.

Malah ketam ini juga gemarkan persekitaran lembap dan sejuk iaitu suhu sekitar 30 dan 31 darjah Celsius. Itu jauh lebih mudah berbanding udang hiasan yang dikatakan lebih rumit penjagaannya.

"Mudahnya pelihara ketam ini apabila empat ekor ketam boleh hidup dalam akuarium berkeluasan 20cm.

"Akuarium itu perlu dilengkapi pam air untuk kitaran air baik dan tempat untuk ia bersembunyi.

"Ketam hiasan memerlukan ruang untuk dia bersembunyi ketika salin kulit atau stres.

"Karakter ketam ini serupa dengan manusia iaitu apabila stres atau ketakutan, ia akan menyendiri atau menyorok.

"Ruang menyorok itu perlu untuk setiap ekor dan ketam juga tidak boleh tinggal sendirian kerana itu juga boleh membuatkan hidupan itu mengalami stres," katanya.

Sementara itu, penyakit dan ancaman boleh menyebabkan ketam itu mati dan menjelaskan situasi itu kata Yap, suhu panas antara punca selain ada kalanya ketam boleh mati tanpa sebarang punca.

"Susah hendak kenal pasti punca bagi sesetengah kes ketam hiasan ini mati. Kadang-kala stres berpunca daripada salin kulit juga boleh menyebabkan ketam terbabit mati.

"Satu lagi punca ialah akibat bergaduh dengan ketam lebih besar.

"Sebaiknya elak terlalu banyak dalam satu akuarium dan sediakan banyak tempat untuk ketam terbabit menyorok," katanya.

Yap turut mempunyai 13 jenis ketam dari spesies Vampire crab tetapi berbeza warna antaranya Batik, Tomato red, Grey vampire, Red devil dan Orange tangerine.

Malah dia melihat ketam sesuai untuk mereka yang mahu pelihara hidupan akuatik tanpa komitmen tinggi.

"Ketam hiasan ini lebih sesuai kepada mereka yang berminat dengan haiwan tontonan berbanding dipegang.

"Variasi spesies pelbagai dengan warna unik membuatkan orang tertarik pelihara ketam hiasan.

"Ia juga makan palet dan kos permulaan untuk 'set-up' akuarium sekitar RM200 hingga RM300.

"Lagi besar akuarium, lagi tinggi kos apatah lagi dengan dekorasi untuk membuatkan akuarium tampil den

gan seni landskap. Pendek kata semua mengikut bajet masing-masing," katanya.

Bagi yang mahu berjinak-jinak memelihara ketam, Yap menasihati bakal anda supaya kaji dahulu tabiat dan cara hidup ketam hiasan.

"Sesiapa sahaja berhasrat pelihara haiwan termasuklah hidupan akuatik seperti ketam memang kena pelajari dahulu.

"Ini boleh membantu meningkatkan jangka hayat ketam peliharaan selain mengelakkan pembaziran. Jika berminat kena belajar atau rujuk mereka yang lebih berpengalaman," katanya.

Selain spesies Vampire crab, dia turut memiliki satu jenis lagi ketam hiasan yang dikenali sebagai Micro crab. Ketam berasal dari Thailand itu hidup sepenuhnya dalam air dan hanya berukuran sekitar 1.3sm sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 7:00 AM