WARNA kuning terang Yellow Fire Shrimp sesuai untuk latar akuarium gelap.
WARNA kuning terang Yellow Fire Shrimp sesuai untuk latar akuarium gelap.
Nurul Husna Mahmud


Peminat seni landskap akuarium atau aquascape sangat menitikberatkan segi tata hias diketengahkan termasuk hidupan yang berada di dalamnya.

Bukan hanya tumbuhan akuatik dan medium lain seperti batu dan kayu boleh memberi suntikan pada nilai estetika aquascape, malah hidupan seperti udang hiasan menjadi pelengkap kepada ekosistem itu.

Mengenai udang hiasan, ada beberapa spesies udang menjadi pilihan kebanyakan peminat aquascape.

Ciri-ciri utama adalah warna dan motif pada cangkerang membuatkan ia menonjol apabila berada dalam latar aquascape.

Berikut beberapa spesies udang hiasan kerap digunakan pemilik aquascape untuk memperindahkan akuarium mereka.

WARNA merah pada spesies Red Cherry Shrimp menaikkan seri akuarium.
WARNA merah pada spesies Red Cherry Shrimp menaikkan seri akuarium.

1. Red Cherry Shrimp

'Semanis' namanya, reputasi udang ini sangat popular dalam kalangan peminat aquascape.

Warna merah menyala berselang dengan kulit udang yang seakan-akan 'berkaca' membuatkan ia menonjol di persekitaran landskap apa pun.

Daya tahan udang ini juga tinggi apabila berkemampuan hidup dalam suhu 18 hingga 28.5 darjah Celsius. Tidak hairan ini menjadi pilihan utama bagi peminat haiwan akuatik di rantau ini.

2. Crystal Red/Crystal Black Shrimp

Seindah namanya, udang ini memiliki tona warna menarik sesuai sebagai hidupan akuatik hiasan.

Seakan-akan versi 'koi' pada udang kerana tompokan pada kulitnya membuatkan ia unik.

Udang ini cantik, tetapi penjagaan rumit apabila sangat sensitif dengan persekitaran dan mudah mati jika kualiti air berubah.

Disarankan penggunaan udang ini lebih stabil dalam akuarium bersaiz besar atau sekurang-kurangnya lima gelen air.

3. Yellow Fire Shrimp

Warna kuning yang terang memberi gambaran namanya yang unik. Kombinasi warnanya itu cukup serasi dengan latar aquascape hijau dan gelap.

Seperti namanya, karakter udang ini salah satunya memiliki daya tahan tinggi dalam persekitaran suhu 22 hingga 29 darjah Celsius, sementara pH air antara enam hingga lapan.

BLUE Pearl Shrimp warna biru yang mempesona.
BLUE Pearl Shrimp warna biru yang mempesona.

4. Blue Pearl Shrimp

Warna biru terang dan seakan-akan lampu pada keseluruhan badan memberi pesona pada setiap mata yang memandangnya.

Bagi peminat aquascape, biru pada spesies udang hiasan ini adalah aura yang didambakan mereka.

Karakter udang ini juga tidak agresif dan gemar menempel di batu, tumbuhan akuatik mahupun dinding akuarium.

Ia juga digemari kerana bertahan dalam persekitaran suhu 20 hingga 26 darjah Celsius.

5. Red Nose Shrimp

Hidung kemerahan-merahan menjadi elemen unik pada udang hiasan berasal dari India ini.

Warna badan lain hanyalah putih jernih dan mudah disesuaikan dengan latar landskap dalam akuarium.

Kelebihan lain dimiliki spesies udang ini adalah ketahanan dalam suhu 20 hingga 28 darjah Celsius dan kemampuan hidup pada pH 6 hingga 7.5.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:20 AM