MEMILIKI 500 ikan nemo yang dipelihara sejak 2012. FOTO Azrul Edham
MEMILIKI 500 ikan nemo yang dipelihara sejak 2012. FOTO Azrul Edham
Muhamaad Razis Ismail


POPULARITI ikan inggu (clownfish) atau nama saintifiknya Amphiprion ocellaris secara tiba-tiba meningkat apabila diangkat sebagai watak utama dalam filem animasi 'Finding Nemo' pada 2003.

Keunikan ikan laut masin yang mendapat jolokan nemo sempena filem itu terletak pada warna oren, putih dan hitam yang ada pada seluruh badannya seolah-olah menyerupai badut.

Kebiasaannya, ikan ini mudah ditemui aktif berenang di celah-celah terumbu karang yang berwarna-warni.

Jadi, tidak hairan setiap kali melakukan aktiviti selam skuba atau selam snorkel, ikan nemo antara spesies yang menjadi perhatian.

Jika dahulu untuk melihat ikan ini, perlu ke habitat asalnya iaitu di laut, namun kini ia dipelihara dalam akuarium sebagai ikan hiasan di rumah.

Peminat ikan nemo, Muhamad Izwan Azwar, 32, mula memelihara spesies itu sejak 2012 di rumahnya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bermula dengan hanya memiliki beberapa ekor, kini bapa tiga cahaya mata itu mempunyai 500 ikan nemo termasuk induk dan anak ikan.

Muhamad Izwan berkata, sebelum memelihara ikan nemo, dia aktif membiak ikan betta yang pada ketika itu menjadi fenomena di negara ini.

"Kemudian saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dengan mencabar diri memelihara dan membiak ikan air masin.

"Saya memilih ikan nemo kerana tertarik dengan warnanya yang lebih menyerlah berbanding ikan air tawar," katanya.

Menurutnya, selain memiliki warna menarik, keseronokan memelihara ikan nemo adalah kemampuannya mengenali pemiliknya.

WARNA yang unik dan menarik menjadi tarikan utama kepada peminat hidupan akuatik. FOTO Azrul Edham
WARNA yang unik dan menarik menjadi tarikan utama kepada peminat hidupan akuatik. FOTO Azrul Edham

"Apabila berada berhampiran akuarium, ia akan aktif berenang seolah-olah sedang menari sehingga membuatkan saya leka melihatnya," katanya.

Jelasnya, ramai yang tidak mengetahui pada peringkat larva atau anak, semua jantina ikan ini adalah jantan sehingga salah seekor mencapai saiz dominan yang bertukar menjadi betina.

"Saiz ikan ini boleh mencecah sehingga 10 sentimeter.

"Jangka hayat ikan ini boleh sampai sehingga 30 tahun. Saya sendiri memiliki seekor ikan nemo berusia 10 tahun yang masih aktif dan galak bertelur," katanya.

Katanya, penjagaan hidupan akuatik ini tidak begitu rumit kerana pemiliknya hanya perlu memastikan parameter air masin sentiasa dalam keadaan stabil.

"Kita perlu sentiasa pastikan tahap kemasinan, kealkalian, amonia dan parameter air masin dalam keadaan baik serta terkawal. Perkara paling penting ialah ikan ini memerlukan oksigen seperti ikan hiasan lain.

 MUHAMAD Izwan dan isteri, Amiratun Nabihah Alias, 29, berkongsi minat sama. FOTO Azrul Edham
MUHAMAD Izwan dan isteri, Amiratun Nabihah Alias, 29, berkongsi minat sama. FOTO Azrul Edham

"Bagaimanapun, perkara yang perlu dielakkan ialah suhu air yang terlalu sejuk atau terlalu panas dan tidak digalakkan memberi makanan terlalu banyak kerana boleh menjejaskan kualiti air," katanya.

Tambahnya, ikannya dilatih makan palet ikan air masin yang mudah didapati dengan harga berpatutan di platform e-dagang.

"Kos penjagaan untuk permulaan bergantung pada saiz akuarium. Kebiasaannya garam khas untuk ikan air masin tidak mahal bergantung kepada jenis iaitu RM100 hingga RM300," katanya.

Muhamad Izwan berkata, proses membiakkan ikan nemo tidak mudah kerana ia menuntut kesabaran tinggi.

"Saya cuba biak ikan ini sejak 2012, hanya pada tahun kedua baru saya berjaya melakukannya.

"Banyak pantang larang dan cabaran untuk membesarkan anak ikan, dari larva hingga dewasa. Selepas beberapa tahun mencuba baru saya berjaya membiakkan ikan ini tanpa masalah," katanya.

RENANGAN ikan nemo memberi ketenangan kepada pemiliknya. FOTO Azrul Edham
RENANGAN ikan nemo memberi ketenangan kepada pemiliknya. FOTO Azrul Edham

Dia mengakui tahap kesedaran masyarakat terhadap ikan ini masih kurang kerana ada yang beranggapan ia tidak boleh dipelihara sebagai ikan hiasan di rumah.

"Nasihat kepada yang berminat, seseorang itu perlu lengkapkan diri dengan ilmu untuk menstabilkan air masin sebelum memelihara ikan ini di rumah," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat memiliki lokasi lebih luas dan selesa bagi menempatkan ikan nemo yang dipelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 7:00 AM