TUMBUHAN akuatik lebih banyak dalam akuarium elak pertumbuhan alga.
TUMBUHAN akuatik lebih banyak dalam akuarium elak pertumbuhan alga.
Nurul Husna Mahmud


Hanya dengan memandang ikan hiasan berenang-renang dalam akuarium, ia hakikatnya mampu memberi ketenangan kepada peminatnya.

Namun ada permasalahan terutama membabitkan ancaman alga yang boleh menjejaskan pemandangan menarik dalam akuarium.

Malah dikatakan pertumbuhan alga terlalu banyak boleh menjadikannya bersifat invasif dan memberi ancaman kepada tumbuhan akuatik.

Sebaiknya langkah pengawalan perlu dilakukan bagi mengelakkan pertumbuhan alga terlalu agresif sehingga boleh menjejaskan kualiti air dan keindahan panorama akuarium.

Ada beberapa langkah boleh dilakukan pemilik akuarium atau ikan hiasan dalam memastikan kurangnya serangan alga hijau:

1. Kawal pemberian makanan ikan

Obses melihat reaksi ikan agresif ketika makan membuatkan pemiliknya memberi makanan berlebihan daripada sepatutnya.

Jika makanan ikan diberi berlebihan, ia akan terendam menyebabkan ammonia dan fosfat meningkat dengan cepat dalam kandungan air.

Ammonia dan fosfat ini juga adalah nutrisi kepada alga menyebabkan ia membiak dengan cepat. Biasakan diri untuk beri makan ikan sekali, dua atau tiga kali sehari dalam jumlah sedikit.

2. Mengawal jumlah cahaya

Menyalakan lampu terlalu lama juga meningkatkan pertumbuhan alga dalam akuarium.

Lakukan pelarasan iaitu lapan hingga 10 jam untuk akuarium yang memiliki tumbuhan akuatik dan enam hingga lapan jam untuk akuarium dengan ikan hiasan sahaja.

3. Ganti air secara teratur

Berbeza situasi air di alam semula jadi kerana air akuarium tertutup.

Perlu ada sistem tersendiri dapat membantu mengekalkan kualiti terutama pH sesuai untuk ikan dan tumbuhan akuatik.

Kekerapan menukar air membantu menjaga atau mendapat kualiti air yang sesuai dan baik untuk ekosistem seimbang dalam akuarium.

4. Uji air

Menguji kandungan air boleh membantu memantau kualiti air yang dialir masuk dalam akuarium.

Kadangkala ada unsur atau elemen dalam kandungan air mempunyai pemangkin kepada pertumbuhan alga. Lakukan saringan air menggunakan penapis air yang sesuai.

5. Perbanyakan tanaman akuatik

Jika tanaman akuatik menguasai keluasan dalam akuarium, peluang alga untuk membiak adalah berkurangan. Ini kerana persaingan mendapatkan cahaya matahari dan nutrisi.

6. Pelihara spesies ikan pemakan alga

Jika anda memelihara spesies ikan hiasan Dwarf Otocinclus dan Cory Cat, dua spesies ikan keli ini membantu menangani masalah alga.

Spesies ikan Dwarf Otocinclus adalah pemakan 'tegar' alga hijau, sementara Cory Cat pula menyedut sisa makanan ikan di dasar akuarium sebelum sempat bertukar menjadi ammonia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 6:44 AM