Muhamaad Razis Ismail


ARNAB atau nama saintifiknya Oryctolagus cuniculus adalah mamalia kecil, berbulu dan sangat comel.

Ia sering menjadi pilihan untuk dijadikan haiwan peliharaan kerana mempunyai pelbagai warna yang menarik selain boleh menjadi haiwan ternakan yang sangat jinak, manja dan ingin dibelai setiap masa.

Penjagaan arnab juga tidak rumit dan pemiliknya hanya perlu menjaga kebersihan, menyediakan tempat tinggalnya, memberi makan dan minum air yang bersih.

Atas sebab itu, Penolong Pegawai Pertanian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ayub Razak, 37, amat tertarik dengan haiwan ini.

Uniknya, haiwan itu dipelihara di Kompleks Rumah Tumbuhan Taman Botani Bangi (TBB), Fakulti Sains dan Teknologi UKM yang turut menempatkan taman paku-pakis, taman herba dan Hutan Simpan Bangi.

Menurutnya pada mulanya, haiwan ini dipelihara di belakang kediamannya selama lima tahun.

MEMBERI makan kepada induk NZW.
MEMBERI makan kepada induk NZW.

"Melihat potensi ia boleh dikembangkan dan secara kebetulan tempat saya bekerja iaitu di TBB mencari program untuk dimajukan sebelum saya mencadangkan ternakan arnab untuk program penjanaan dan penyelidikan.

"Alhamdulillah majikan bersetuju dan program itu diteruskan sehingga kini," katanya.

Menurutnya, dua baka arnab dipelihara di TBB iaitu jenis pedaging New Zealand White (NZW) sebagai baka untuk pedaging dan Netherland Dwarf (ND) sebagai baka arnab hiasan.

"Di sini, kami mempunyai arnab pedaging lebih daripada 60 ekor induk.

SENTIASA memastikan air minuman tidak tercemar.
SENTIASA memastikan air minuman tidak tercemar.

"Baka NZW ini adalah baka pedaging mempunyai tumbesaran yang cepat dan mempunyai berat agak tinggi iaitu kira-kira 2.5 kilogram (kg) ke 5 kg lebih bergantung kepada diet yang diberikan.

Manakala bagi arnab hiasan pula, mereka mempunyai lebih 50 induk ND.

"Arnab baka hiasan ini akan dibiak melalui kaedah semula jadi dan dibesarkan sehingga berusia dua bulan sebelum dibuka untuk jualan di seluruh negeri di Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, ND adalah salah satu baka yang agak popular dan mempunyai pasaran yang sangat baik di pasaran.

"Baka ND adalah arnab jenis kerdil, comel dan ia mempunyai rupa sangat menarik berbanding jenis baka arnab yang lain. Kebiasaannya, saya akan menjual RM300 untuk sepasang kepada pembeli.

Selain itu, terdapat arnab hiasan baka campuran (mix) sebanyak 10 induk yang anaknya akan dijual secara borong kepada kedai haiwan peliharaan di sekitar Kajang, Selangor.

ARNAB baka ND.
ARNAB baka ND.

Katanya, kos penjagaan untuk arnab tidak tinggi seperti haiwan lain, kerana penjagaan sangat mudah dan makanannya amat mudah diperoleh di kawasan sekitar.

"Arnab dijaga di dalam sangkar, tidak memerlukan ruang yang banyak, tidak perlukan suhu yang terlalu sejuk (pendingin hawa) dan ia tidak mudah terkena penyakit kronik atau ganjil.

"Semua arnab di sini hanya memerlukan makanan (pellet) dan rumput sebagai diet dengan anggaran kos kira-kira RM300 sebulan," katanya,

Jelasnya, rutin harian bermula pada awal pagi dengan membersihkan kawasan lantai sangkar dengan mengumpul najisnya di dalam guni dan menjiruskan air ke lantai sehingga bersih.

"Selepas itu, saya akan meletakkan pellet ke tabung makanan yang saya sudah diubah suai sendiri (DIY).

"Kemudian, saya akan memberi makanan tambahan rumput hay (timothy dan alfafa) atau dedaun hijau pada sebelah petang.

"Di samping itu, saya akan memberi vitamin dalam bentuk cecair untuk seminggu sekali bagi memberi jaminan kesihatan dan tahap imunisasi yang baik kepada arnab di sini," katanya.

Ayub berkata, perkara yang perlu dititik beratkan dalam penjagaan arnab ini adalah aspek pemakanan.

"Kita perlu memastikan makanan yang diberikan tidak tercemar atau tidak masuk angin. Ini kerana ia akan memberi kesan yang buruk kepada sistem penghadaman arnab termasuk gejala kembung perut, cirit-birit atau mati serta merta.

"Keduanya, kita perlulah memastikan sangkar atau tempat tinggal arnab sentiasa berada dalam keadaan yang bersih. Ini akan dapat mencegah daripada penyakit berjangkit," katanya.

Beliau turut menasihatkan anda yang ingin menjadikan arnab sebagai haiwan peliharaan supaya mendalami ilmu berkaitan haiwan ini.

"Paling penting, kita perlu mempunyai minat yang mendalam dan hendaklah fokus bagi mencapai sasaran dirancang," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Ayub mahu terus membiak dan memperbanyakkan lagi arnab supaya dapat menjadi salah satu industri pemprosesan makanan yang berasaskan produk daging arnab kepada seluruh negara.

"Di samping itu, program ini dapat menjana pendapatan yang tinggi kepada Taman Botani Bangi UKM menerusi jualan arnab hiasan.

"Pada masa sama, saya mahu menjadikan TBB sebagai salah satu medium penyelidikan berkaitan arnab kepada pelajar dan pensyarah di UKM khususnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 7:00 AM