BANGUNAN The New York Times Building di New York City. FOTO AFP
BANGUNAN The New York Times Building di New York City. FOTO AFP
Bernama-Dpa

New York: Akhbar Amerika Syarikat The New York Times menyaman Microsoft dan OpenAI, syarikat yang membangunkan chatbot kecerdasan buatan (AI) popular ChatGPT, atas dakwaan karya terbitannya untuk latihan AI digunakan tanpa kebenarannya, lapor agensi berita Jerman (dpa).

The Times pada Rabu memfailkan aduan di New York, mendakwa syarikat itu melanggar hakcipta apabila menggunakan hasil karya akhbar itu untuk mencipta produk AI yang kini bersaing dengannya.

"Melalui Bing Chat Microsoft (baru-baru ini dijenamakan semula sebagai 'Copilot') dan OpenAI ChatGPT, defendan memanfaat pelaburan besar The Times dalam kewartawanan dengan menggunakannya untuk membangunkan produk pengganti tanpa kebenaran atau bayaran," menurut aduan itu.

"Tindakan saman ini bertujuan untuk memastikan defendan bertanggungjawab atas berbilion-bilion dolar dalam bentuk ganti rugi berkanun dan sebenar kerana menyalin dan penggunaan karya The Times secara tidak sah," menurut dokumen itu.

Sementara itu, laman sesawang berita teknologi The Verge memetik jurucakap OpenAI Lindsey Held sebagai berkata dalam satu kenyataan melalui e-mel bahawa "perbualan berterusan dengan The New York Times sangat produktif dan konstruktif, dan kami terkejut dan kecewa dengan perkembangan ini."

"Kami berharap dapat menemukan cara yang saling menguntungkan untuk bekerjasama, seperti yang kami lakukan dengan banyak penerbit lain," lapor The Verge memetik Held.

OpenAI yang mula beroperasi di California menarik perhatian dunia dengan robot teksnya ChatGPT – yang dibangunkan dengan sokongan Microsoft – boleh memberi jawapan segera dalam pelbagai kandungan seperti esei, puisi serta kod komputer.

ChatGPT beroperasi mulai 2022 dengan memberi tumpuan kepada kemajuan dalam AI, namun mencetuskan perbincangan mengenai kesannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 1:39 PM