SAM Altman. FOTO fail AFP
SAM Altman. FOTO fail AFP
AFP

San Francisco: Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI iaitu syarikat yang memperkenalkan ChatGPT, Sam Altman, menjadi bilionair terbaharu dalam senarai majalah Forbes.

Altman yang syarikatnya mengeluarkan ChatGPT pada 2022, memasuki senarai bilionair majalah itu pada kedudukan ke-2,692.

Outlet berita kewangan itu berkata, kekayaan Altman datang terutamanya daripada pelaburannya dalam syarikat pemula seperti Reddit, yang baru-baru ini diapungkan di bursa saham New York, dan syarikat pembayaran Stripe, yang kini dianggarkan bernilai AS$65 bilion (kira-kira RM308 bilion).

Lelaki berusia 38 tahun itu juga melabur dalam usaha niaga yang lebih baharu, seperti syarikat tenaga nuklear Helion dan syarikat pemula, Retro Biosciences.

Kekayaannya termasuk hartanah utama di California dan Hawaii dianggarkan berdasarkan pemfailan awam dan laporan penyiasatan, kata Forbes.

Altman menegaskan bahawa dia tidak memiliki ekuiti dalam OpenAI, sebuah syarikat yang menjadikannya hampir dikenali ramai dan dianggarkan bernilai kira-kira AS$80 bilion (kira-kira RM380 juta).

Minggu lalu, Taylor Swift juga secara rasmi dinamakan sebagai senarai bilionair Forbes dengan anggaran kekayaan AS$1.1 bilion (RM5.2 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 2:41 PM