Muhammad Saufi Hassan

 

 

Pengeluar perkakas permainan terkemuka, MSI kini bekerjasama dengan jenama sukan elektronik (eSports) Evangelion membawakan set desktop bertemakan 'Evangelion' khusus untuk peminat jenama eSports berkenaan.

  Pengguna berpeluang untuk membina satu set desktop bertemakan Evangelion Unit-01 yang juga dikenali sebagai Eva-01 'Test Type' untuk tema desktop mereka.

  Menerusi 'Evangelion e:Project' sebagai jenama baharu eSports sekali gus membawakan set lengkap bermula dengan desktop sehingga perkakas komputer yang lain.

  Ia turut merangkumi perkakas utama desktop iaitu kerangka, papan induk, sistem penyejuk dan punca bekalan kuasa.

  Untuk itu, MSI bersama koleksi Eva turut memperkenalkan papan induk daripada rekaan 'Evangelion' berkenaan iaitu MAG B660 Tomahawk Eva e-Project yang bertemakan warna ungu dengan logo 'Nerv' pada sistem penyejuk papan induk.

  Khusus untuk pengguna, ia adalah keluaran terhad dan MSI turut menyediakan sistem penyeragaman lampu RGB yang khusus untuk set desktop tema ini.

  Selain itu, sistem penyejuk semua dalam satu daripada generasi MAG CoreLiquid C240 EVA e-Project turut diperkenalkan bersama-sama logo Nerv pada pam utama AIO berkenaan.

  Tidak cukup dengan itu, bekalan kuasa daripada siri MAG A650BN EVA e-Project turut menggunakan tema warna yang sama termasuk beberapa ciri khusus yang lain.

  Bagi melengkapkan set desktop pengguna, MSI membawakan kerangka khusus iaitu MPG Gungnir 110R EVA e-Project dengan warna ungu bersama tulisan yang memberi gambaran kepada EVA-01 TEST TYPE.

  Untuk menambahkan keupayaan, MSI turut melaksanakan kerjasama dengan Intel dan Kingston bagi membina set desktop berkuasa bersama-sama sistem memori (RAM) daripada Kingston FURY Beast DDR5.

  Pengguna yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web https://msi.gm/MY_EvangelionLanding sekali gus membina desktop impian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 2:39 PM