MAG CoreLiquid 360R
MAG CoreLiquid 360R
Muhammad Saufi Hassan

 

 

Pengguna desktop kelas prestasi pastinya mahukan pemproses mereka berada pada tahap suhu terutamanya untuk tempoh penggunakan yang panjang.

  Walaupun wujud pelbagai variasi di pasaran berhubung penyejuk cecair semua dalam satu (AIO), namun tidak banyak produk yang memberikan kuasa prestasi terbaik.

  Jenama perkakas terkemuka, MSI memperkenalkan pelbagai variasi sistem penyejuk cecair semua dalam satu (AIO) serta penawaran prestasi yang baik.

  Pengguna desktop hari ini lebih gemar untuk memilih sistem penyejuk cecair berbanding penyejuk udara memandangkan prestasi penyejukan yang lebih baik untuk pemproses.

  MSI MAG CoreLiquid 360R adalah contoh AIO dalam kelas terbaik kerana menawarkan suhu CPU pada tahap paling minimum walaupun ketika prestasi penuh (full load).

  Kebanyakan AIO yang berada di pasaran mempunyai konsep 'pam penyejuk kepada blok CPU' namun untuk penyejuk cecair MSI ini menggunakan pendekatan baharu.

  Pendekatan baharu ini menggunakan konsep 'pam terbina radiator' sekali gus mampu memberikan kesan penyejukan CPU yang lebih baik berbanding konsep konvensional AIO yang berada di pasaran pada waktu ini.

  Untuk CoreLiquid 360R ini, ia dilengkapi dengan radiator 360mm bersama tiga kipas termasuk logo rasmi MSI iaitu 'Naga Merah' di bahagian kepala pam penyejuk.

  Ia juga menyokong sistem penyeragaman cahaya RGB yang boleh dibuat menerusi tetapan perisian Mystic Light menggunakan punca kuasa 3 pin 5v ARG atau menggunakan hab penyeragaman lampu RGB.

  Menyentuh aspek spesifikasi, MSI MAG CoreLiquid 360R dilengkapi dengan tiga fasa pam motor dengan kelajuan maksimum 4,200RPM dengan bunyi kurang daripada 18 dBA.

  Penyejuk ini dilengkapi dengan saiz kipas 120mm 'bearing berkembar' bersama talaan kelajuan untuk penyejukan 00 hingga 2,000 RPM yang dikawal oleh 4 pin PWM.

  Untuk soket sokongan, MSI MAG CoreLiquid ini menyokong semua soket sedia ada antaranya soket pemproses Intel LGA1200 sehingga kepada soket AMD TR4 dan TRX40.

  Penulis merasakan bahawa ia adalah AIO paling senyap pernah digunakan jika dibandingkan dengan jenama lain manakala suhu untuk spesifikasi penulis iaitu AMD Ryzen 7 3800X mencatatkan bacaan kurang 68 darjah Celcius bagi kepenggunaan penuh.

  Ujian prestasi menerusi Aida64 juga memperlihatkan bunyi kipas yang senyap berbanding AIO lain yang pastinya pengguna akan terganggu dengan kelajuan penuh kipas penyejuk AIO.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 11:19 PM