Muhammad Saufi Hassan

Menyedari kepentingan bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan sains data yang memainkan peranan besar dalam keupayaan teknologi hari ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif dengan menjalinkan kerjasama dengan dua buah universiti di India.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu menyaksian UniMAP menjalinkan kerjasama dengan Universiti Amity Uttar Pradesh (AUUP) dan Universiti Teknikal untuk Wanita Indira Ghandi Delhi (IGDTUW).

Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli berkata, menerusi MoU berkenaan, UniMAP akan bekerjasama dengan dua universiti berkenaan dalam membangunkan penyelidikan berkualiti khususnya dalam bidang AI dan sains data.

"Sebelum ini, UniMAP dan Aminity sudah bekerjasama sejak November 2020 menerusi Pakar AI UniMAP iaitu Prof Madya Dr Syed Zulkarnain Syed Idrus yang dilantik Ahli Seumur Hidup Makmal Penyelidikan Rangkaian Universiti Amity (AUN).

"Namun MoU ini bukan sahaja berfokus kepada penerbitan penyelidikan tetapi juga akan diperluaskan bagi melahirkan pelajar pasca siswazah, penerbitan buku, perjanjian perlesenan, pendaftaran harta intelek dan pengetahuan baharu yang memberi manfaat kepada komuniti," katanya.

Pada masa sama, majlis menandatangani itu disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sempena lawatan kerja rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke India.

Zaliman berkata, kerjasama dengan IGDTUW juga membabitkan program pertukaran staf akademik, program mobiliti pelajar, penyeliaan, penyelidikan dan persidangan bersama.

"Antara kerjasama berkenaan ialah Program Ijazah Berkembar Pasca Siswazah melalui kaedah dwi-ijazah iaitu penganugerahan dua ijazah bagi kedua-dua institusi yang akan memberi satu nilai tambah kepada bakal graduan dengan memiliki dua ijazah daripada dua universiti dan negara berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 3:42 PM