Cyberjaya: Multimedia Universiti (MMU) dan Jabatan Perangkaan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang penganalisaan dan penyelidikan ilmu statistik bagi memantapkan lagi data perangkaan untuk kepentingan pembangunan negara.

Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Muhamad Rasat Muhamad berkata, MoU ini membolehkan perkongsian hasil analisis, penyelidikan serta penemuan baharu yang dijalankan antara MMU dan Jabatan Perangkaan melalui pembentangan di seminar, bengkel, persidangan dan penerbitan ilmiah sama ada jurnal, tesis di peringkat Sarjana Muda dan Pasca Siswazah.

“Sehubungan itu, kami mahu lebih banyak penyelidikan menarik dihasilkan melalui kerjasama ini kerana MMU sebagai sebuah universiti penyelidikan sememangnya mempunyai kepakaran tinggi yang diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam bidang berkenaan,”katanya di sini, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani Muhamad Rasat mewakili MMU manakala Jabatan Perangkaan diwakili Ketua Perangkawannya Datuk Dr Abdul Rahman Hasan.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata,ia adalah perkongsian pintar antara kedua pihak yang menghasilkan sinergi untuk menggiatkan aktiviti penganalisaan di peringkat lebih kompleks dan komprehensif dalam bidang statistik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:48 AM