DR Amirudin
DR Amirudin
Afiq Hanif

CyberSecurity Malaysia mengingatkan pengguna Internet di seluruh Malaysia untuk lebih peka mengenai keselamatan siber pada musim perayaan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pada era digital ini, menjaga keselamatan tidak hanya membabitkan keselamatan fizikal seperti memandu kenderaan, membonceng motosikal dan memasak, tetapi juga termasuk keselamatan di alam siber iaitu ketika melayari Internet atau menggunakan aplikasi Internet termasuk media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube.

“Ramai orang menggunakan telefon pintar dan gajet digital untuk pelbagai tujuan seperti sembang, mencari maklumat, berhibur, menonton video, bermain online games, melakukan pembelian online, aktiviti perbankan serta berinteraksi melalui pautan Internet.

“Dengan hanya sekelip mata, sesuatu maklumat, berita dan visual terpapar di depan mata namun dengan adanya teknologi dan akses Internet sebegini, penjenayah siber turut mengambil peluang untuk melakukan jenayah siber,” katanya.

Beliau berkata, telefon pintar dan kemudahan Internet dijadikan saluran untuk mereka membuat tipu daya, menggodam, menceroboh, mencuri maklumat, memeras ugut, membuli serta pelbagai jenayah siber lain.

“Pada tahun ini, terdapat peningkatan insiden keselamatan siber ketara bermula pada Mac hingga Mei dengan jumlah laporan insiden keselamatan siber yang dilaporkan pengguna Internet kepada Cyber999 dari Januari sehingga Mei lalu adalah sebanyak 2,713 insiden.

“Kebanyakan insiden yang dilaporkan berkaitan penipuan, pencerobohan, jangkitan malware dan gangguan siber,” kata Amirudin.

Daripada analisis yang dipantau, antara insiden yang dilaporkan sejak awal tahun ialah ancaman kod berbahaya (Malicious) Fake Bank Negara APK, penyebaran gangguan perkhidmatan (Distributed Denial of Service) melalui Memcached vulnerability, Symantec Certificate Issue dan CPU Hardware Side-Channel Attacks Vulnerability yang dikenali sebagai Meltdown and Spectre.

Antara amalan yang perlu dilaksanakan oleh pengguna Internet di musim perayaan termasuk tidak klik pada sebarang pautan dan lampiran imej atau video yang diterima melalui e-mel atau laman media sosial.

Selain Itu, jangan terlalu taasub menggunakan telefon pintar ketika menjamu selera bersama keluarga - hadkan penggunaan telefon pintar dan luangkan masa bersama keluarga dan rakan sebaiknya di waktu perayaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 6:00 AM