AMIRUDIN (kiri) bersama Pengarah System Engineering Symantec Malaysia, David Rajoo ketika majlis sidang media Internet Security Threat Report di Kuala Lumpur. FOTO Ridhatul Rizki
AMIRUDIN (kiri) bersama Pengarah System Engineering Symantec Malaysia, David Rajoo ketika majlis sidang media Internet Security Threat Report di Kuala Lumpur. FOTO Ridhatul Rizki
Ridhatul Rizki


Kuala Lumpur: Pautan yang dikongsi di aplikasi sembang seperti Whatsapp dan Telegram masih berisiko menyebarkan malware atau virus ke dalam telefon pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, mungkin terdapat malware dan virus di dalam pautan yang dikongsi yang boleh mengakibatkan kecurian data termasuk kata kunci perbankan dalam talian.

“Risikonya sama jika pengguna membuka sebarang pautan yang diterima menerusi e-mel. Yang berbeza hanyalah medium komunikasi.

“Ramai pengguna menganggap jenayah siber hanya mitos semata-mata tanpa menyedari bahawa ia benar-benar berlaku.

“Sebab itu, mereka gemar berkongsi gambar, pautan dan sebagainya dalam aplikasi sembang,” katanya.

Oleh itu, pengguna disarankan memasang perisian anti-virus dalam telefon pintar bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah siber, katanya.

“Kalau kita membeli komputer, biasanya kita pastikan ia dilengkapi dengan perisian anti-virus. Hal yang sama perlu dilakukan apabila membeli telefon pintar kerana kegunaan peranti itu sudah seperti komputer,” katanya ketika ditemui di sidang media Laporan Ancaman Keselamatan Internet atau ‘Internet Security Threat Report’ di sini, hari ini.

Menurut laporan itu, kadar jenayah siber di Malaysia bagi 2017 menunjukkan 1,850 kes telah dilaporkan sehingga31 Mac lalu berbanding 2,470 kes pada Januari hingga Mac 2016.

Meskipun jumlah ini menunjukkan penurunan, bagaimanapun Amirudin berkata, semakin ramai pengguna Internet maka ancaman siber juga bertambah.

“Secara umumnya, pengguna Internet bertambah setiap hari. Ini bermakna ancaman siber juga meningkat. Bagaimanapun, statistik hanya menunjukkan kes-kes yang dilaporkan ke Cyber Security Malaysia. Terdapat kebarangkalian banyak kes lain yang tidak dilaporkan ke Cyber Security Malaysia atau laporan di buat ke pihak berkuasa yang lain,” katanya.

Kes penipuan dalam talian adalah jenayah siber tertinggi yang telah dilaporkan iaitu 4,724 kes sejak tahun lalu selain kes pencerobohan, buli siber, kod jahat dan spam.

Amirudin berkata, mangsa ancaman siber boleh membuat laporan ke Cyber Security Malaysia di talian 1300882999, e-mel ke [email protected] atau muat turun aplikasi Cyber 999 secara percuma menerusi iOS dan Android.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:09 PM