GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Pentadbir sistem dan pengguna internet dipelawa melayari portal Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) bagi mendapatkan informasi mengenai tatacara terbaik berkaitan keselamatan siber, sekali gus meminimumkan risiko tahap ancaman dan serangan siber.

Berkongsi maklumat itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata pihaknya dari semasa ke semasa mengeluarkan peringatan dan nasihat melalui portal itu di pautan https://www.mycert.org.my/.

"Pentadbir sistem dan pengguna internet di Malaysia dinasihatkan sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan ancaman serta serangan siber yang berlaku pada masa ini.

"Semua pengguna internet diminta untuk terus mengamalkan tatacara serta kaedah penggunaan teknologi dan Internet termasuk laman media sosial secara positif, beretika dan bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Memperincikan mengenai tatacara yang digariskan, Amirudin berkata antara yang dicadangkan adalah memperkukuhkan kata laluan dengan mengemaskini setiap tiga atau enam bulan sekali, melakukan transaksi dalam talian menggunakan Wi-Fi peribadi serta tidak mendedahkan maklumat peribadi di laman media sosial secara berlebihan.

Beliau berkata, pengguna juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati apabila membuka pautan atau lampiran berbentuk imej dan video selain tidak berkongsi maklumat palsu sebelum melakukan semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihannya.

Katanya, terdapat beberapa insiden keselamatan siber yang berlaku sejak awal tahun ini, antaranya operasi serangan siber terhadap laman sesawang kerajaan serta aset dalam talian yang dikenali sebagai #OpsWakeUp21.

Sekiranya pentadbir sistem dan pengguna internet ingin melaporkan insiden keselamatan siber, beliau menyarankan mereka berbuat demikian melalui beberapa saluran yang disediakan Pusat Bantuan Cyber999 antaranya emel [email protected], talian 1-300-88-2999 serta memuat turun aplikasi Aplikasi Cyber999 di Appstore dan Google Play.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:59 PM