TANGGUNGJAWAB pemerintah, generasi muda atau penyedia perkhidmatan Internet? GAMBAR hiasan.
TANGGUNGJAWAB pemerintah, generasi muda atau penyedia perkhidmatan Internet? GAMBAR hiasan.
Siti Zarinah Sahib


KES 1:

ADRIANA, 17, ( bukan nama sebenar) pernah memberikan gambar kurang sopan (tidak memakai baju) kepada teman lelakinya atas alasan percaya dan cinta. Tanpa memikirkan sesuatu yang buruk berlaku. Namun disebabkan salah faham, hubungan mereka terputus.

Namun pada suatu hari teman lelakinya, Akmal, 18, (bukan nama sebenar) mula menghantar mesej berbau ugutan akan menyebarkan gambar separuh bogel Adriana di Internet untuk memalukannya. Malah pelbagai kata-kata yang tidak sepatutnya dilontarkan menerusi WhatsApp sehingga membuatkan dia tertekan.

Dia mulai takut, risau dan sedih seandainya Akmal benar-benar melakukannya. Bagaimana jika ibu bapa, guru dan rakan karibnya tahu, sudah tentu ia akan menjejaskan kredibiliti sebagai pengawas sekolah dan pelajar terbaik dalam peperiksaan.

Lama-kelamaan prestasi pelajaran Adriana mulai merosot. Emosinya pula sering terganggu dia juga tidak tahu bagaimana mahu keluar daripada permasalahan ini.

KES 2:

Luqman, 17, adalah pelajar pilihan guru di sekolah disebabkan kepemimpinan yang ada pada dirinya. Namun dia tidak disenangi rakan-rakan kerana apa sahaja aktiviti tidak sihat mereka akan sampai ke pengetahuan guru kelas. Mereka menyangka ini semua kerja Luqman.

Mulanya mereka mengganggu menerusi aplikasi WhatsApp dengan menghantar kata-kata lucah dan berbaur ugutan. Bukan sekali malah setiap hari dia menerima mesej daripada individu berbeza.

Akmal yang pendiam dan tegas orangnya tidak mahu mengambil pusing mesej yang diterima malangnya lama-kelamaan mereka semakin biadab apabila mengganggu dengan cara menelefon pula.

Mereka mengugut mahu memukul Akmal sekiranya dia masih melaporkan aktiviti mereka kepada guru kelas. Suatu hari Akmal benar-benar dipukul ketika pulang ke rumah dan perkara ini dibawa ke pengetahuan guru besar.

Apa yang berlaku kepada Adriana dan Akmal adalah disebabkan ledakan teknologi maklumat, keterbukaan dalam penyajian informasi menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter sehingga meningkatnya gejala buli siber.

Ini ditambah kepercayaan ibu bapa mengenai pemilikan telefon pintar peribadi seawal usia tujuh tahun memberi ruang kepada kepada anak meneroka seterusnya melakukan keganasan menerusi alam maya.

Nyata dalam kes ini, buli berlaku tanpa segan silu dalam bentuk memalukan mangsa, tidak kira apa juga niat pembuli berkenaan. Sekalipun tiada sebarang kecederaan fizikal yang ditinggalkan, tetapi buli siber boleh memberi kesan lebih serius berbanding fizikal.

Ia termasuk mengganggu perkembangan emosi kanak-kanak, menyebabkan rasa rendah diri dan risiko masalah mental yang serius seperti kemurungan dan keinginan membunuh diri.

Menerusi tinjauan dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), mendapati 28 peratus atau tiga daripada 10 anak muda Malaysia menjadi mangsa keganasan dalam talian dengan 43 peratus daripadanya diterima melalui aplikasi pesanan peribadi di Facebook dan Instagram.

Ini diperkukuhkan dengan kajian terbaru UNICEF dan wakil khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Henrietta Fore mengenai kesan buli terhadap kanak-kanak di 30 negara.

Daripada kajian ini seorang daripada lima kanak-kanak dan remaja dilaporkan ponteng sekolah berpunca buli siber dan keganasan.

“Jika dulu perbuatan buli dilaporkan di sekolah, tetapi kini ia semakin meluas kerana berlaku menerusi alam siber. Sudah semestinya perlakuan ini menjejaskan pelajaran dan kehidupan sosial mereka. Kesannya mereka menjadi tidak fokus di sekolah, emosi terganggu serta berada dalam kerisauan dan ketakutan,” katanya.

Hampir tiga suku daripada generasi muda yang terbabit dalam kajian ini berkata, rangkaian media sosial termasuk Facebook, Instagram, Snapchap dan Twitter adalah saluran yang tinggi dan banyak berlaku buli siber.

Di Malaysia, daripada 5,000 penyertaan kajian, hanya 457 orang

(sembilan peratus) mengaku mereka pernah menggunakan teknologi platform digital untuk mengganggu atau membuli orang lain.

Data juga menunjukkan 63 peratus responden Malaysia tidak menyedari adanya perkhidmatan bantuan dalam talian bagi mangsa buli siber.

“Menerusi kajian ini, antara mesej utama yang ingin disampaikan adalah pandangan golongan muda mengenai tanggungjawab siapa untuk menamatkan gejala ini. Sama ada pemerintah, penyediaan perkhidmatan Internet, sektor swasta atau anak muda itu sendiri,” ulasnya.

Melalui pungutan suara di 30 negara termasuk Albania, Bangladesh, Bolivia, Brazil, Burkina Faso, Perancis, India, Indonesia, Iraq, Jamaica, Liberia dan Malaysia ke atas anak muda berusia 13 hingga 24 tahun menunjukkan 32 peratus percaya kerajaan lebih bertanggungjawab bagi menamatkan buli siber,

Manakala 31 peratus pula ditujukan kepada generasi muda dan 29 peratus memberi tanggungjawab kepada syarikat Internet.

Keputusan kajian mengenai buli siber sememangnya amat mengejutkan. Ramai ibu bapa risau sekiranya anak mereka dibuli rakan sekelas secara fizikal di sekolah.

Tetapi, mereka tidak nampak keganasan dan sifat membuli itu sudah dibentuk menerusi dalam talian dan aplikasi di dalam telefon pintar anak-anak.

“Sebagai contoh, 34 peratus responden di Afrika mengakui menjadi mangsa buli dalam talian. Malah 39 peratus mengetahui adanya kumpulan dalam komuniti sekolah yang berkongsi maklumat mengenai rakan sebaya untuk tujuan membuli,” katanya.

Menyedari akan hal ini UNICEF giat menjalankan kempen pencegahan buli siber #ENDviolence di dalam dan di sekitar sekolah. Pada 2018 diwujudkan #ENDviolence Youth Manifesto bagi menyeru kerajaan, guru, ibu bapa dan masyarakat membantu bagi memastikan pelajar berasa selamat di dalam dan sekitar sekolah termasuk memberi perlindungan dalam talian.

“Di seluruh dunia, generasi muda sama ada di negara berpendapatan tinggi atau rendah memberitahu mereka sedang dibuli menerusi dalam talian. Hal ini akan menjejaskan pelajaran sehingga membuatkan mereka mahu berhenti sekolah,” akhiri Fore.

CARA HENTIKAN BULI SIBER:

1. Pelaksanaan dasar oleh kerajaan bagi melindungi kanak-kanak dan orang muda daripada buli siber.

2. Penubuhan talian bantuan negara untuk menyokong kanak-kanak dan orang muda berada dalam persekitaran selamat.

3. Memastikan etika dalam amalan penyedia rangkaian sosial khusus berkaitan dengan pengumpulan, maklumat dan pengurusan data terpelihara.

4. Pengumpulan bukti yang lebih baik sama ada mangsa dan pemangsa.

5. Latihan untuk guru dan ibu bapa bagi mencegah dan memberi tindak balas sekiranya mereka menerima laporan adanya buli siber di kawasan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:25 AM