Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kurangnya rasa empati dan sensitif dengan individu serta keadaan sekeliling antara punca remaja di negara ini terbabit dalam gejala buli siber.

Demikian pandangan Pensyarah Kanan dan Ahli Psikologi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kauseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr Noor Aishah Rosli.

Menurutnya, sikap kurang empati juga ada hubung kaitnya dengan aktiviti remaja masa kini yang lebih terikat dengan gajet hingga berasa bebas untuk memuat naik apa saja perkongsian di laman sosial termasuk yang negatif.

"Apabila seseorang itu kurang empati maka mereka tidak fikir kata-kata atau sesuatu perkongsian akan memberi kesan buruk hingga mangsa malu berdepan orang ramai.

"Pelaku buli siber juga melakukannya demi kepuasan diri dan perasaan cemburu melampau terhadap mangsa hingga mereka cuba menjatuhkan dengan cara halus iaitu menerusi penyebaran fitnah atau kata mengaibkan di media sosial.

"Faktor lain adalah kerana mereka kurang mendapat perhatian, mahu populariti segera selain tidak yakin serta berani untuk tegur mangsa secara berdepan. Akhirnya pelaku sanggup membuka akaun laman sosial palsu demi mengaibkan mangsa," katanya ketika dihubungi Harian Metro bagi mengulas punca kecenderungan remaja di negara ini terbabit dalam gejala buli siber.

Ia berikutan Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia menerusi platform media sosial.

Dr Aishah berkata, keluarga adalah individu terdekat yang bertanggungjawab memantau dalam memastikan anak mereka tidak terjebak dengan buli siber.

"Rata-rata mereka (remaja) tinggal bersama keluarga jadi ibu bapa atau penjaga perlu beri peringatan mengenai apa yang boleh dan tidak dimuat naik di laman sosial.

"Penting untuk ibu bapa beritahu anak mereka mengenai kepentingan menjaga adab bukan saja ketika berjumpa orang tetapi juga sewaktu menggunakan laman sosial.

"Manakala, tanggungjawab mendidik itu perlu diambil alih oleh guru ketika di sekolah kerana tahap kematangan remaja bawah umur tidak menyamai orang dewasa jadi dikhuatiri tindakan mereka keterlaluan tanpa adanya pemantauan," katanya.

(Kiri) Dr Noor Aishah Rosli, (kanan) Dr Shazli Ezzat Ghazali
(Kiri) Dr Noor Aishah Rosli, (kanan) Dr Shazli Ezzat Ghazali

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata akses kepada gajet dan Internet yang mudah serta kurangnya pemantauan daripada ibu bapa membuatkan remaja terbabit dalam buli siber.

"Remaja ini sepatutnya banyak melakukan aktiviti di luar namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyebabkan pergerakan mereka terhad.

"Jadi, mereka cuba meluahkan sesuatu di laman sosial dan akhirnya menjadi netizen yang agresif dan lantang sesuai dengan personaliti golongan remaja yang berada dalam konflik identiti diri.

"Selain itu, mereka (pelaku buli siber) juga mungkin seorang yang mementingkan diri atau 'self-centred' hingga bebas berkata-kata di laman sosial tanpa melihat banyak sudut seperti orang dewasa serta memikirkan kesannya pada jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 6:58 PM