DEMONSTRASI jenayah siber berlaku di rumah.
DEMONSTRASI jenayah siber berlaku di rumah.
PHILIP menunjukkan program keselamatan Internet di gerai Digi.
PHILIP menunjukkan program keselamatan Internet di gerai Digi.
PESERTA diminta meletakkan tangan untuk ‘bacaan minda’.
PESERTA diminta meletakkan tangan untuk ‘bacaan minda’.
PHILIP (kanan) berbincang mengenai buku panduan ibu bapa bersama Mustaffa (tengah) dan Soraya.
PHILIP (kanan) berbincang mengenai buku panduan ibu bapa bersama Mustaffa (tengah) dan Soraya.
DEMONSTRASI bagaimana buli siber berlaku.
DEMONSTRASI bagaimana buli siber berlaku.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Bayangkan jika kita disapa orang tidak dikenali yang mengetahui hampir segala-galanya mengenai kita baik aktiviti seharian hinggalah maklumat peribadi termasuk tempat tinggal atau di mana kita berada, tentu ia menakutkan, bukan?

Namun, sedarkah kita bahawa semua maklumat itu sebenarnya ‘didedahkan’ oleh kita sendiri menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram tanpa menyedari kita sedang menjerumuskan diri dan keluarga dalam ancaman jenayah siber.

Mungkin sesetengah orang beranggapan tetapan privasi yang terhad kepada keluarga atau orang yang dikenali saja sudah menjamin keselamatan maklumat peribadi mereka, sebaliknya adakah kita yakin bahawa semua rakan dalam rangkaian laman sosial itu benar-benar kita kenali?

Jika penulis sebelum ini begitu yakin dan berasa selamat ketika berada dalam talian kerana sudah menetapkan privasi di laman sosial, namun eksperimen yang dilakukan ketika mengikuti Eksperimen Keselamatan Sosial Internet Digi CyberSAFE yang dianjurkan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), baru-baru ini sempena Pameran Sains Kejuruteraan Kuala Lumpur (KLESF), nyata me­ngubah pandangan penulis mengenai keselamatan siber.

Eksperimen sosial itu diadakan bagi memupuk kesedaran masyarakat terutama ibu bapa mengenai kepentingan keselamatan identiti dalam talian di semua platform media sosial.

Eksperimen dilakukan melalui sesi bacaan minda menggunakan gimik teknologi canggih yang

kononnya boleh membaca memori dan corak pemikiran peserta dengan denyut nadi. Selain itu, beberapa soalan peribadi diajukan pengendali semasa sesi berkenaan di mana peserta perlu menjawab ya atau tidak (dalam hati) pada beberapa pilihan jawapan.

Ketika eksperimen, agak menimbulkan tanda tanya apabila pengendali mengajukan soalan yang bersifat terlalu peribadi dan hampir mendedahkan semua butiran peribadi penulis termasuk bertanyakan sama ada nama kucing peliharaan adalah sama seperti yang mereka sebutkan.

Di sebalik tirai, rupa-rupanya beberapa pakar daripada CyberSecurity mengumpul dan mencari maklumat peserta melalui akaun media sosial mereka.

Realitinya, itulah hakikat yang semua perlu akui bahawa betapa mudahnya maklumat mengenai diri sendiri, anak dan keluarga diketahui orang luar.

Eksperimen berakhir dengan sesi taklimat mengenai kesedaran keselamatan dalam talian, dengan penekanan terhadap cara mengukuh dan memastikan keselamatan identiti dalam talian dan aktiviti media sosial.

Pengurus Program Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, ketika kebanyakan orang mahu percaya bahawa Internet adalah selamat dan boleh dipercayai, mereka tidak menyedari maklumat peribadi amat mudah diakses tanpa perlindungan privasi yang betul.

Justeru, katanya, eksperimen sosial itu penting untuk memberi impak kepada masyarakat dan mencetuskan lebih kesedaran terhadap risiko Internet kerana Digi percaya pentingnya pemerkasaan warga digital yang lebih berdaya tahan terhadap risiko dalam talian.

Naib Presiden Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Jangkauan CyberSecurity, Lt Kol (B) Mustaffa Ahmad pula berkata, memandangkan pengguna Internet di Malaysia terus menjadi mangsa penipuan dan kecurian identiti maklumat peribadi kerana kekurangan pengetahuan mengenai keselamatan siber, pihaknya ingin melakukan pemeriksaan realiti melalui pengalaman eksperimen sosial berkenaan.

“Ia amat memberi manfaat dalam mewujudkan kesedaran betapa pentingnya untuk melindungi dan memiliki identiti dalam talian yang selamat,” katanya.

Antara aktiviti yang dianjurkan di gerai Digi termasuklah penerangan mengenai buli siber, hendap siber dan ‘grooming’ siber melalui lakonan pendek yang dilakukan secara langsung.

Dalam pada itu, Digi turut menjalin kerjasama dengan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi melancarkan panduan ibu bapa bertujuan membantu mereka supaya tidak hanya memahami dan membiasakan diri dengan persekitaran media sosial semasa, tetapi juga mengenali potensi risiko dan penyelesaian pencegahan untuk setiap saluran media popular.

Paling penting, panduan itu turut menyediakan permulaan perbualan mengenai pelbagai topik yang ibu bapa boleh gunakan bagi membuka perbincangan mengenai penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab dengan anak masing-masing.

Panduan ini untuk ibu bapa yang tidak biasa dengan Internet, keliru dan meragui pembabitan anak mereka dalam talian, juga ibu bapa yang serba tahu Internet dan ingintahu lebih banyak mengenai keselamatan dan aktiviti dalam talian anak mereka.

Panduan Ibu Bapa, Cara Untuk Berbincang Tentang Internet Dengan Anak-Anak Anda itu yang boleh didapati dalam bahasa Ing­geris, Melayu dan Cina turut menggunakan kisah hidup sebenar mengenai risiko yang mungkin boleh berlaku dalam talian. Ia boleh dimuat turun di digi.com.my/digicybersafe atau safeinternet.my.

Sementara itu, Ketua Komunikasi UNICEF Malaysia, Soraya Bermejo berkata, inovasi teknologi telah maju dengan cara yang belum pernah terjadi sebelumnya sepanjang dekad yang lalu.

“Kami percaya apabila teknologi digital digunakan dengan selamat, ia boleh memberi kanak-kanak dan belia peluang untuk membuat perbezaan dan menyuarakan kebimbangan dan pendapat mereka.

“Bersama Digi, kami berharap panduan ini akan menjadi alat untuk ibu bapa memupuk warga digital masa depan yang menggunakan teknologi secara positif untuk kebaikan sosial,” katanya.

Ling berkata, sejak beberapa tahun lalu, Digi dengan kerjasama beberapa agensi lain sudah mengeluarkan beberapa buku panduan mengenai keselamatan Internet untuk menyebarkan kesedaran dan tip keselamatan penggunaan Internet bagi kanak-kanak.

Justeru, katanya, pendekatan baru dalam buku panduan ini akan memberi kuasa kepada ibu bapa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan keselamatan anak mereka di dunia maya.

“Ini juga sebahagian daripada usaha kami untuk memupuk pengguna celik Internet dari kecil dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas dan alat untuk kekal selamat dalam talian,” katanya.

Hasil Kajian Kebangsaan Keselamatan Internet Dalam Kalangan Kanak-Kanak Sekolah Malaysia 2014 mendapati:

- 40 peratus tidak tahu cara melindungi diri mereka dalam talian.

- 83 peratus terdedah kepada risiko dalam talian disebabkan langkah perlindungan yang minimum.

- 70 peratus tidak mengambil berat mengenai pencerobohan privasi atau ketanpanamaan orang yang mereka berinteraksi.

- Lebih 40 peratus mengatakan keselamatan dalam talian adalah penting tetapi hanya mengambil langkah perlindungan yang rendah.

Kesedaran tidak semestinya dituruti dengan tindakan positif.

- Lebih 70 peratus melakukan pelbagai bentuk gangguan dalam talian seperti memanggil seseorang dengan nama yang tidak disukai dan menghantar mesej atau gambar yang tidak sopan.

- 64 peratus merasakan menghantar SMS atau gambar yang tidak sopan dengan menggunakan nama samaran bukanlah buli siber.

- 26 peratus pernah mengalami buli siber, kebanyakan mereka berumur 13 hingga 15 tahun.

- Lebih 50 peratus melayari talian tanpa pemantauan dan 40 peratus mendakwa mereka tidak terikat dengan sebarang undang-undang keselamatan siber.

- 61 peratus kanak-kanak mengadu kepada ahli keluarga apabila menghadapi pengalaman negatif dalam talian.

- 6 peratus memilih untuk berdiam diri apabila dibuli walaupun mempunyai pilihan melaporkannya kepada ahli keluarga, pendidik atau pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 10:37 AM