KANAK-KANAK perlu didedahkan dengan aktiviti sukan sejak di sekolah rendah. FOTO: Saifullizan Tamadi
KANAK-KANAK perlu didedahkan dengan aktiviti sukan sejak di sekolah rendah. FOTO: Saifullizan Tamadi
Siti Zarinah Sahib


SERING kita melihat bentuk fizikal dan ketinggian menjadi faktor utama dalam bola keranjang. Malah, sukan yang kelihatan agak agresif dan pantas ini menjadi pilihan pelajar terutama mereka yang tidak meminati aktiviti padang. Selain menyihatkan badan, sukan juga dianggap alat perpaduan untuk memupuk integrasi kebangsaan walaupun berbeza latar belakang atau pegangan agama.

Bersesuaian dengan Hari Kebangsaan ke-62, WCT Kidss, sebuah program pembangunan sukan komuniti tajaan WCT Holdings Berhad melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat kelima dengan menganjurkan program bola keranjang percuma yang berlangsung pada 14 hingga 18 Ogos lalu bertempat di pusat beli-belah Paradigm Mall, Petaling Jaya.

Dikhususkan kepada pelajar berusia sembilan sehingga 12 tahun, objektif utama program ini bagi memupuk semangat berpasukan, perpaduan, kesukanan dan keadilan bermula di peringkat akar umbi lagi.

Disertai 30 atlet muda bola keranjang yang menetap di komuniti setempat dan 10 kanak-kanak daripada Yayasan Sunbeams Home, kanak-kanak ini melalui program latihan selama empat hari dan satu hari perlawanan persahabatan di bawah bimbingan jurulatih All Star Basketball Academy.

Kanak-kanak ini didedahkan dengan asas penting permainan bola keranjang seperti kawalan bola, jaringan cangkuk, menggelecek dan latihan jaringan bola.

Selain mempelajari teknik asas, mereka juga berpeluang melalui sesi motivasi bersama jurulatih bagi menaikkan semangat dan rasa keseronokan ketika bermain.

Menurut Jurulatih All Star Basketball Academy Fox Lee Cheng Tuck, untuk menjadi pemain bola keranjang yang baik ketinggian bukanlah faktor utama.

Walaupun ramai orang melihat mereka yang mempunyai kelebihan fizikal mampu menjadi pemain yang bagus, kecekapan mengawal bola, kepantasan berlari, kekuatan menggenggam bola dan ketajaman mata serta fikiran adalah perkara yang dititikberatkan ketika latihan.

FOKUS teknik memasukkan bola diajar ketika sesi latihan bola keranjang anjuran WCT Kidss, baru-baru ini.
FOKUS teknik memasukkan bola diajar ketika sesi latihan bola keranjang anjuran WCT Kidss, baru-baru ini.

“Ketika sesi pemilihan walaupun kanak-kanak yang memiliki ketinggian dianggap bonus, kami tetap menilai semua kriteria ketika bermain kerana ini yang menentukan kejayaan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pendedahan awal terhadap sukan ini jelas Lee, bagi masyarakat Cina permainan ini sesuatu yang biasa kerana sejak kecil ibu bapa mendedahkan mengenai bola keranjang pada awal usia sekitar enam dan tujuh tahun.

Berbeza bagi orang Melayu kerana mereka lebih berminat dan dapat menguasai bola sepak berbanding bola keranjang.

“Inilah yang menyebabkan kebanyakan pemain bola keranjang daripada remaja Cina disebabkan pendedahan awal ibu bapa. Namun, bagi ibu bapa yang ingin menjadikan anak mereka mahir dalam sukan ini cari mana-mana kelab yang menyediakan latihan pada usia muda. Hantar anak mereka ke sana supaya mereka dibiasakan dengan bola dan larian,” katanya.

CUNGKIL BAKAT PEMAIN

Bagi Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat WCT Holdings Berhad Lo Wei Teing, pencapaian WCT Kidss sejak mula dilancarkan pada Jun 2013 sangat memberangsangkan.

“Program ini direka untuk memberikan platform permulaan bagi mencungkil bakat pemain muda mempamerkan kemahiran dan semangat mereka dalam sukan bola keranjang di samping menyediakan platform untuk mengasah bakat mereka.

“Sebagai sebuah organisasi, kami komited menyumbang ke arah pembangunan komuniti tempatan menerusi penganjuran program seumpama ini agar dapat berbakti semula kepada masyarakat,” katanya.

Bagi Pengasas Bersama Projek 57 Syed Sadiq Albar, mereka sangat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan WCT Kidss bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan akan datang.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan WCT Kidss yang mempunyai visi sama dalam membina semangat perpaduan di Malaysia.

“Melalui inisiatif ini, kami ingin memberi inspirasi kepada anak muda agar mempunyai semangat patriotisme tinggi, perpaduan dan saling memahami demi untuk membina negara yang bersatu,” katanya yang memilih sukan sebagai alat perpaduan bagi memupuk integrasi kebangsaan sekali gus merancakkan lagi perbahasan mengenai kepentingan bersatu padu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:30 AM