MILO melancarkan Milo Champions Clinic: E-Coaching untuk menyemarakkan semangat sukan golongan muda tempatan.
MILO melancarkan Milo Champions Clinic: E-Coaching untuk menyemarakkan semangat sukan golongan muda tempatan.
Hafiz Ithnin

MILO, peneraju kemajuan sukan peringkat akar umbi selama 70 tahun, kini menyemarakkan usahanya untuk memupuk minat terhadap sukan dalam kalangan kanak-kanak menerusi pelancaran Milo Champions Clinic: E-Coaching.

Inisiatif terbaharu itu adalah sebahagian daripada matlamat Milo untuk memupuk gaya hidup aktif bagi seluruh rakyat Malaysia di bawah gerakan Milo Aktif Negaraku dengan menyediakan sebuah platform untuk meningkatkan akses kepada sukan.

Milo Champions Clinic: E-Coaching adalah lanjutan daripada MILO Champions Clinic, iaitu program latihan sukan peringkat permulaan yang dibangunkan secara khusus untuk menggalakkan kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun kekal aktif serta memupuk minat mereka kepada sukan.

Pengurus Pemasaran Sukan, Milo, Nestle (Malaysia) Bhd, Kerwin Lim berkata, dengan menggunakan teknologi dalam talian untuk capaian yang lebih luas, ia melangkaui sempadan geografi untuk membawakan Milo Champions Clinic ke lebih banyak tempat, sekali gus berkongsi manfaat sukan dengan lebih ramai kanak-kanak, keluarga dan komuniti.

"Kami percaya bahawa sukan adalah guru terbaik yang mendidik nilai-nilai murni. Ia terus mendorong usaha kami membuka lembaran baharu untuk membantu kanak-kanak mendapatkan akses kepada kebaikan sukan.

"Malahan, akses kepada sukan ini perlu dipertingkatkan dalam keadaan situasi semasa. Menerusi Milo Champions Clinic, kanak- kanak bukan sekadar dapat kekal aktif secara selamat, malahan mempelajari nilai-nilai murni seperti kecekalan, kegigihan, ketabahan dan semangat takkan gentar.

"Ia hanya dapat dipupuk melalui sukan untuk membantu mereka melangkah jauh dalam menghadapi cabaran masa kini," katanya.

Sebagai pelengkap program Milo Champions Clinic sedia ada, Milo Champions Clinic: E-Coaching menumpukan fokus pada tiga jenis sukan yang paling sesuai untuk latihan di rumah dan dalam talian, iaitu badminton, futsal serta bola keranjang.

Secara tidak langsung membawakan kembali banyak ciri-ciri asalnya terutama latihan bertaraf dunia bersama jurulatih-jurulatih kebangsaan yang menghasilkan modul latihan berkenaan.

Antaranya Daphne Ng (badminton), Chiew Chun Yong (futsal) dan Yoong Sze Yuin (bola keranjang).

Selain itu, legenda badminton Rashid Sidek, bekas kapten pasukan bola keranjang wanita kebangsaan Nur Izzati Yaakob dan bintang bola sepak kebangsaan yang sedang melonjak popular Nik Akif Syahiran masing-masing akan membuat penampilan khas dalam salah satu sesi latihan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 6:30 AM