PEMAIN empat pasukan teratas kategori  lelaki ceria selepas menerima hadiah daripada Siew Ling (berdiri, tengah depan).
PEMAIN empat pasukan teratas kategori lelaki ceria selepas menerima hadiah daripada Siew Ling (berdiri, tengah depan).

Kuala Lumpur: Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Batu 11 Cheras mempamerkan aksi mantap untuk muncul juara kategori perempuan bawah 12 tahun siri ketiga dan terakhir Karnival Bola Keranjang 3 lawan 3, baru-baru ini.

Pada saingan di SJKC Taman Connaught, Cheras itu, SJKC Batu 11 Cheras mengalahkan SJKC Khe Beng dari Klang dengan jaringan tipis 1-0.

Perlawanan akhir kategori lelaki pula memihak kepada SJKC Khe Beng Klang yang menewaskan SJKC Sungai Buloh 4, 6-1.

Kejohanan itu dianjurkan bagi meneruskan usaha melahirkan budaya sukan di peringkat akar umbi serta mempromosi bola keranjang dalam kalangan kanak kanak berbilang kaum.

Kejohanan anjuran Bijiran Sarapan Nestle Koko Krunch dengan kerjasama Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kelab Sukan SportsUnite itu disertai 106 pasukan lelaki dan perempuan dari sekolah rendah seluruh Lembah Klang.

Karnival bermula dengan klinik bola keranjang yang dikendalikan enam jurulatih selama 60 minit sebelum diteruskan dengan pertandingan 3 lawan 3.

Sokongan padu ibu bapa dan ahli keluarga menjadikan suasana karnival itu begitu ceria.

Pengurus Cawangan Bahagian Bijirin Kanak-Kanak Cereal Partners Malaysia Lim Siew Ling berkata, karnival itu satu lagi sumbangan korporat mereka untuk mempromosi budaya sukan, gaya hidup sihat dan semangat kekeluargaan serta perpaduan berbilang kaum.

“Kami sungguh gembira melihat sambutan diterima selain semangat kesukanan ditunjukkan kanakkanak yang menyertai klinik dan karnival ini,” katanya.

Menurutnya, sukan dianggap sebagai platform terbaik untuk membantu membina perwatakan dan personaliti positif di hati dan jiwa kanak kanak.

“Melalui sukan, kanak kanak memperoleh nilai positif seperti disiplin, kepimpinan, kesungguhan, keberanian, semangat sepasukan dan sikap saling hormat menghormati,” katanya.

Empat pasukan teratas kedua-dua kategori menerima pingat dan barangan Bijirin Sarapan Nestle Koko Krunch selain piala iringan.

Hadiah disampaikan bersama oleh Siew Ling dan seorang lagi Pengurus Bijirin Sarapan Nestle Desmond Kok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:07 AM