DARI KIRI Aqil Daniyal Fareed, Jeremiah, Muhammad Izzat, Mohd Zaid, Muhamad Razif, Dhayalan dan Adli ketika sidang itu.
DARI KIRI Aqil Daniyal Fareed, Jeremiah, Muhammad Izzat, Mohd Zaid, Muhamad Razif, Dhayalan dan Adli ketika sidang itu.
Hartini Mohd Nawi


GoStrong Basketball Academy (GSA) dengan rakan strategiknya BK Squad iaitu sebuah agensi pengurusan bakat yang membantu mengembangkan program biasiswa di Taiwan, secara rasmi melancarkan Program Biasiswa Antarabangsa untuk atlet bola keranjang.

Ia satu acara yang amat signifikan bagi industri sukan Malaysia di mana tiga pelajar-atlet berjaya memperoleh biasiswa untuk latihan profesional dan pendidikan di institusi pengajian terkemuka di Taiwan.

GSA yang bekerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Putrajaya (PUBA) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) memilih Aqil Daniyal Fareed dari PUBA, Jeremiah Philip Nganzo dari SSBJ untuk menyertai Taoyuan Private Yung Ping Technological High School. Sementara Adli Najdat Azwanddin juga dari PUBA pula terpilih untuk menyertai Chung Yuan Christian University.

Pada masa sama, High School Basketball League (HBL) dan University Basketball Association (UBA) di Taiwan adalah salah satu liga bola keranjang profesional serta gerbang utama ke pentas antarabangsa.

Program Biasiswa Antarabangsa ini direka khas buat pelajar-atlet dengan matlamat untuk menawarkan mereka keseimbangan unik bagi kedua-dua tuntutan akademik dan sukan yang tinggi.

Ia menggabungkan program latihan dan sarat akademik selain membantu setiap pelajar berkembang sebagai atlet dan mendapat peluang terbaik untuk berjaya di dalam serta di luar bidang sukan.

AQIL Daniyal
AQIL Daniyal

Menurut jurulatih Muhammad Izzat Nasruddin, budaya bola keranjang di Malaysia pantas berubah.

"Biasiswa ini bertujuan membawa demografi pelajar yang lebih inklusif dan pelbagai ke sekolah menengah serta universiti terkemuka di seluruh dunia.

"Objektif utama kami adalah untuk mewujudkan peluang kepada pemain muda yang berdedikasi, bercita-cita tinggi dan komited untuk mencapai kecemerlangan dalam arena bola keranjang tanpa melupakan kepentingan pendidikan" katanya ketika sidang media pengumuman Program Biasiswa Antarabangsa dan tiga pelajar- atlet bola keranjang berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengenalpastian & Pembangunan Bakat, Institut Sukan Negara, Mohd Zaid Mohd Ghazali dan Pengarah Program Biasiswa Antarabangsa, Muhamad Razif Nasruddin.

Muhammad Izzat yang juga pengasas GoStrong Club dan GSA berkata, ia antara kesinambungan kejayaan program yang sebelum ini berjaya mendapatkan biasiswa kepada Dhayalan G V iaitu pelajar Malaysia pertama yang bermain di HBL selepas menyertai GSA pada 2019.

"Tahun ini dengan kerjasama daripada PUBA and SSBJ, kami menghantar tiga lagi pemain ke Taiwan dan yakin mereka akan berada dalam persekitaran yang dapat mengembangkan serta memaksimumkan potensi.

"Selain membolehkan mereka berjaya pada tahap yang lebih tinggi. Ketiga-tiga atlet akan bermain untuk Divisyen 1 sambil melanjutkan pengajian mereka," katanya.

GSA adalah sebuah akademi bola keranjang yang ditubuhkan dengan objektif untuk mengembangkan bakat di arena bola keranjang Malaysia.

Malah GSA begitu teruja untuk membuka secara rasmi Program Biasiswa Antrabangsa kepada semua ibu bapa dan kelab yang berminat menghantar anak atau pemain mereka dari usia 15 tahun hingga 18 tahun untuk program biasiswa penuh atau separa.

Terkini, Taiwan adalah salah satu destinasi program dan akademi yang merancang untuk mencari perkongsian baru bagi memperkasakan dan memperkuatkan program ini untuk tahun-tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 6:46 AM