MENYEDIAKAN tempahan miang kham di kawasan sekitar.
MENYEDIAKAN tempahan miang kham di kawasan sekitar.
Siti Zarinah Sahib

Kunjungan kali pertama ke kediaman wanita ini, Siti Ruby Mahyah, 40, menyingkap rahsia yang dia seorang penjual miang kham secara dalam talian. Hidangan dari negara jiran ini biasanya disajikan sebagai menu pembuka selera terutama di restoran masakan Thailand.

Selain daun kaduk sebagai bahan utama, miang kham disajikan bersama sos, bawang, kacang tanah, kelapa parut yang digoreng, udang kering, cili padi dan limau nipis. Rasa manis, masam, rangup dan pedas secukup rasa menambah keenakannya.

Menurut Siti Ruby, idea menghasilkan miang kham bermula selepas mendapati banyak pokok kaduk hidup subur di hadapan dan di belakang rumahnya. Pada mulanya dia hanya menjadikan tanaman ini sebagai penghias halaman dan ‘penyedap’ dekorasi sahaja.

“Suatu hari seorang rakan datang ke rumah dan meminta daun kaduk untuk dibuat miang kham. Selepas merasa, saya mula menggemarinya. Tidak sangka ramai yang ingin membuat tempahan selepas memuatnaik gambar menerusi Facebook,” katanya yang menetap di Taman Medan, Telok Panglima Garang, Selangor.

Ujar Siti Ruby yang mesra disapa Ruby, walaupun nampak mudah, kesabaran dan ketelitian amat diperlukan bagi menghasilkan menu istimewa Thailand ini. Dia sendiri mengambil masa beberapa hari mempelajari kaedah memotong bahan utama. Mujur sos miang kham diperoleh dari rakan justeru ia tidak menimbulkan kesukaran memasaknya.

“Paling rumit adalah mendapatkan kelapa kisar, kerana isinya perlu disangai berjam-jam untuk mendapatkan aromanya,” katanya.

Menyedari bahan utama miang kham adalah daun kaduk, Ruby memberikan lebih perhatian kepada tanaman ini. Sebab itu di hadapan rumah kelihatan pokok kaduk hidup subur bersama tanaman lain seperti sayur-sayuran herba. Daun kaduk banyak khasiatnya, antaranya merawat sembelit, sakit gigi dan lenguh. Air rebusannya juga elok untuk selesema dan sakit pinggang manakala daunnya yang menghijau seakan-akan sireh sesuai dijadikan ulam.

“Pokok kaduk mudah dijaga asalkan cukup air dan baja. Bagi mengelak serangga, saya hanya menggunakan baja dan racun serangga organik. Caranya dengan menggunakan pencuci cecair pinggan, kemudian dicampur bawang putih dan cili padi.

“Agar sebati campuran ini dibiarkan seketika sebelum ditambah sedikit air dan disembur ke semua bahagian pokok. Memang ia berkesan kerana semut dan serangga tidak lagi datang menyerang,” katanya yang sangat berhati-hati dalam pemilihan racun perosak kerana mahu mengelak daripada bahan kimia berbahaya. Tambah pula daun-daun herba dimakan mentah dan perlu dijaga daripada tercemar.

DAUN kaduk yang mempunyai banyak khasiat.
DAUN kaduk yang mempunyai banyak khasiat.

Ruby yang mengambil tempahan daripada rakan sekitar mengakui sejak mula diperkenalkan miang kham sambutan diterima sangat menggalakkan. Namun disebabkan daun yang dipetik memerlukan masa untuk tumbuh semula dia tidak mempunyai stok yang banyak.

“Disebabkan di belakang rumah turut mempunyai halaman luas saya menanam pokok kaduk bersama tumbuhan herba yang lain,” katanya.

Mulai berkebun sejak mula menetap di sini sekitar 20 tahun lalu, menurut Ruby ia terhasil dengan bantuan suami. Mengakui mempunyai cita rasa yang sama, Ruby ditugaskan menjaga semua tanaman termasuk menyiram dan memberi baja.

Aktiviti wanita ini bermula selepas bersarapan sekitar jam 8 pagi dan 5 petang. Sambil mengenakan pakaian khas, kasut but, dan topi dia memberikan siraman pertama untuk tanaman di hadapan rumah.

“Selepas selesai barulah saya beralih dengan tanaman di belakang rumah. Antara yang ada ialah tenggek burung, selasih, salam, origano, daun sup, kucai, peria dan tomato. Selain diberikan air dan baja, saya ambil masa seketika untuk meneliti keadaan tanah dan daun agar tiada haiwan lain merosakkannya.

“Saya juga gemar membelai dan berbual-bual dengan tumbuhan ini kerana pokok sama seperti manusia yang mempunyai emosi dan perlu dijaga,” katanya.

Dia yang gemar mengamalkan ulam-ulaman, percaya sayur-sayuran yang ditanam sendiri mempunyai khasiat yang tinggi. Pucuk tenggek burung dikatakan mengandungi pelbagai khasiat kesihatan contohnya mencegah serangan darah tinggi dan melancarkan peredaran darah. Jika dimakan selalu dapat menyegarkan badan dan menghilangkan rasa lenguh selepas penat bekerja.

Daun selasih pula dimakan mentah atau daunnya digunakan sebagai penyedap makanan bagi membangkitkan aroma masakan. Selasih juga mampu mengelakkan sembelit dan bagus untuk sistem pencernaan.

Sebagai suri rumah sepenuh masa, sejak menanam pelbagai jenis sayuran herba dia dapat mengurangkan perbelanjaan dapur. Jika ingin memasukkan ke dalam masakan hanya petik sahaja di belakang rumah. Berkongsi rezeki dengan jiran, ada sayuran diberikan kepada rakan terdekat.

“Misalnya daun kaduk saya berikan kepada rakan yang mahir menghasilkan sos miang kham. Oleh kerana dia tidak menanam herba ini di rumah perkongsian rezeki ini mampu mengeratkan perhubungan sesama rakan,” katanya.

Seorang yang cergas dan mementingkan penjagaan kesihatan, sejak mengamalkan aktiviti berkebun tubuh semakin sihat dan cergas. Malah dia tidak mempunyai sebarang penyakit merbahaya.

“Ini berkat berbudi pada tanah, serta mengamalkan makan ulam-ulaman segar setiap hari,” katanya.

SITI RUBY melihat tanaman cili di belakang rumah.
SITI RUBY melihat tanaman cili di belakang rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 2:02 PM