TANAMAN herba dihias indah dan dijaga rapi.
TANAMAN herba dihias indah dan dijaga rapi.
Siti Zarinah Sahib

Berlatar belakang gaya Inggeris, kebun herba di sekitar kawasan perumahannya jelas menunjukkan kecintaan begitu tinggi pada alam sekitar. Tanaman kemas tersusun di dalam pasu menunjukkan ia dijaga rapi pemiliknya, Noor Harmauzailatulisa Md Yusoff, 35. Malah daun herba yang rimbun menghijau menyegarkan pandangan ditambah pula laluan masuk ke kawasan kebun kemas dan bersih menjadi tarikan utama.

Menurut Noor Harmauzailatulisa atau mesra disapa Lisa, aktiviti bercucuk tanam bermula pada akhir 2015, disebabkan minat mendalam terhadap tumbuh-tumbuhan. Setiap kali memandang tumbuhan hijau bagaikan satu kepuasan dan ketenangan.

“Keredupan dedaun menyihatkan pandangan, malah kita disarankan memandangkan pokok sekiranya terlalu lama menggunakan gajet kerana tumbuhan dapat merehatkan mata,” katanya memulakan bicara.

Sambil menunjukkan beberapa sayur-sayuran yang ditanam sendiri, jelas Noor Harmauzailatulisa sebagai isteri dan ibu dia kerap kali diberikan peranan menguruskan rumah tangga terutama dalam hal pembelian barang dapur. Kenaikan harga barang membuatkan dia terfikir alangkah baiknya jika hobi ini ditukar kepada sesuatu yang lebih bernilai.

NOOR HARMAUZAILATULISA membersihkan kawasan tanaman menggunakan peralatan khas.
NOOR HARMAUZAILATULISA membersihkan kawasan tanaman menggunakan peralatan khas.

Tanam sayur-sayuran dan boleh dimasak untuk sajian keluarga. Lebih penting ia berkhasiat kerana bebas racun kimia.

“Saya bermula dengan sayur-sayuran seperti cili, bendi, kucai, kangkung, sawi dan kesum yang ditanam di dalam pasu. Kemudian sedikit demi sedikit apabila melihat kesuburannya saya beralih pula kepada tumbuhan herba seperti sabung nyawa, cekur, rumput beijing, serai, aloe vera, pegaga, pudina, belalai gajah, sirih dan pandan. Buah-buahan seperti kedondong, mempelam dan bidara jumbo juga turut ditanam dengan jumlah kesemua tanaman melebihi 20 jenis,” katanya.

“Saya tidak pernah menjual hasil tanaman kerana percaya keberkatan berkongsi rezeki, membuatkan tumbuhan hidup lebih subur. Berkongsi rezeki juga dapat mengeratkan perhubungan dan kasih sayang antara satu sama lain,” katanya yang turut berkongsi sayur-sayuran yang ditanam dengan jiran dan rakan sepejabat.

Dia yang bertugas sebagai pegawai kerajaan mengakui hobi berkebun tidak pernah mengganggu rutin hariannya. Setiap pagi sebelum ke tempat kerja dia terlebih dulu menyiram tanaman itu kemudian sekali lagi ketika petang selepas anak pulang dari sekolah. Semua tanaman menggunakan baja buatan sendiri dan racun organik yang dibeli menerusi dalam talian.

SIRIH tumbuh menghijau dengan baja organik.
SIRIH tumbuh menghijau dengan baja organik.

“Baja dan racun perosak organik lebih selamat kerana tiada bahan kimia. Biasanya saya sembur dua minggu sekali bagi mengelak serangga merosakkan daun dan pucuk muda yang baru tumbuh. Sebab itu ada bezanya menggunakan baja organik dan baja kimia daripada segi warna daun lebih hijau dan kelihatan sangat segar,” katanya.

Sejak 2015 kucai antara pokok kesukaannya. Daun kucai matang enak dibuat jemput-jemput atau dimasak sayur lemak putih bersama sawi atau kubis.

Mendapat sokongan suami dan anak jelas Noor Harmauzailatulisa, mengakui melihat tumbuhan hijau adalah terapi paling berharga.

“Tubuh mudah berpeluh setiap kali saya melakukan aktiviti menyiram tumbuh-tumbuhan. Terutama jika cuaca panas. Ia juga salah satu cara bersenam secara tidak langsung,” katanya.

KEDONDONG matang enak dibuat jeruk
KEDONDONG matang enak dibuat jeruk

Pada masa akan datang wanita ini teringin menghasilkan buku berkenaan aktiviti berkebun di kawasan laman rumah. Selain berkongsi panduan dengan pengikut laman sosialnya berkenaan ilmu bercucuk tanam terutama mereka yang tinggal di kawasan kediaman berkeluasan terhad.

“Sebenarnya berkebun tidaklah sesukar mana asalkan ada minat dan tahu caranya. Cabaran mungkin ketika anda ingin pulang ke kampung atau bekerja di luar kawasan dalam tempoh lama. Mungkin tanaman anda tidak terjaga atau kering kontang akibat lama tidak disiram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 1:20 PM