MAZREENA di laman kebun balkoni miliknya. -Foto NSTP
MAZREENA di laman kebun balkoni miliknya. -Foto NSTP
Intan Mas Ayu Shahimi

MEMILIKI kebun balkoni tidak semudah bercucuk tanam di laman kediaman yang mempunyai kawasan lapang. Selain faktor keluasan ruang, tiupan angin dan cahaya matahari, kebun balkoni mungkin agak leceh untuk diurus kerana tiada sumber tanah dan air sebagaimana di kebanyakan rumah teres atau kampung.

Namun, bagi yang benar-benar suka bercucuk tanam, mereka tidak kisah dengan jenis rumah didiami. Asalkan ada ruang bersesuaian, di situlah benih disemai dan dibesarkan hingga membuahkan hasil.

Sama halnya dengan pembuat kek, Mazreena Sapianumur, 39. Ibu kepada tiga anak perempuan ini bukan saja bijak memanfaatkan ruang balkoni rumahnya, bahkan pandai bercucuk tanam.

“Saya memang minat berkebun sejak kecil lagi. Kalau ada masa terluang, saya kerap membantu arwah emak dan abah melakukan kerja ringan di halaman rumah. Laman luas itu ditanam pelbagai jenis bunga, buah dan sayur.

“Jadi, sebelum berpindah ke rumah sekarang, saya menyimpan angan dan cita-cita untuk memiliki kebun balkoni seperti ‘Sky Garden’ milik Daphne Iking kerana rumah lama terlindung daripada cahaya matahari.

“Sebaik berpindah, saya mula membeli pokok cili padi dan rosemary. Suami pula banyak beri sokongan dengan membelikan rak kayu, set hidroponik dan pelbagai kelengkapan untuk berkebun. Tidak cukup dengan itu, ibu bapa mentua turut membelikan pokok lain seperti pandan, kari, bidara, selasih, kunyit dan pudina,” katanya.

Jelas Mazreena, walaupun sibuk dengan tempahan kek dan rutin kerja rumah, dia cukup seronok dapat memiliki kebun balkoni sendiri. Apatah lagi ketika ramai mula berkongsi di media sosial mengenai penggunaan racun kimia dan serangga dalam penanaman sayuran yang dijual di pasar.

“Saya pernah terbaca perkongsian rakan di Facebook mengenai kaedah penanaman hidroponik. Memandangkan ia mudah dan hasilnya selamat untuk dimakan, saya mula mencari alat kelengkapan dan benih sayuran di kedai.

ANAK turut teruja membantu menuai hasil kebun.
ANAK turut teruja membantu menuai hasil kebun.

“Bila nampak tanaman menjadi, saya beli pula benih sayur lain dan mendapatkan baja AB secara dalam talian. Setiap pagi, selepas hantar anak ke sekolah, saya menjenguk kebun, menyiram, menambah air baja, melihat kalau ada jentik-jentik, mencantas daun dan menabur baja.

“Selesai membuat kek dan menyediakan hidangan untuk makan tengahari, saya ambil anak-anak dan menyudahkan kerja rumah termasuk memasak sajian makan malam. Kemudian, saya akan kembali ke balkoni untuk menyemai benih, mengalihkan anak pokok ke pasu dan menuai hasil yang sudah matang sambil dibantu anak-anak,” katanya.

Menurut Mazreena, ada waktunya dia menghabiskan banyak masa di kebun berkeluasan sekitar 7.4 meter persegi itu untuk mengkaji teknik pembenihan dan mencuba pelbagai kaedah menghasilkan baja serta racun serangga organik.

“Buat masa ini, saya menanam pelbagai jenis herba termasuk kesum, kunyit, pudina, rosemary, selasih, kari, pandan, daun sup, daun bawang dan ketumbar. Ada juga sayur, antaranya kangkung, pelbagai jenis bayam, kailan, sawi, salad, pak choy, cili dan tomato.

“Lazimnya, anak sulung akan membantu kerja menyiram. Adiknya pula suka membantu ketika menuai hasil. Jika dikumpul, alhamdulillah cukup untuk dimasak buat hidangan keluarga. Kalau ada lebih, saya akan berkongsi dengan mentua dan kawan-kawan,” katanya.

Mazreena berkata, dia puas dapat memetik hasil tanaman sendiri, sekali gus menyediakan hidangan sihat dan bebas racun buat seisi keluarganya.

“Perasaan gembira setiap kali melihat tanaman hidup subur di kebun balkoni itulah yang menjadi terapi pagi terbaik buat diri saya sebelum memulakan rutin sebagai suri rumah.

“Paling penting, saya dapat berkongsi ilmu berkebun dan hasil kajian dibuat bersama keluarga dan kawan-kawan. Lebih seronok apabila minat ini disokong keluarga termasuk ibu bapa mentua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 4:30 AM