ZALINA teruja hasil bercucuk tanam secara kecil-kecilan makin menjadi
ZALINA teruja hasil bercucuk tanam secara kecil-kecilan makin menjadi
Siti Zarinah Sahib


Menetap bersendirian di rumah tatkala anak tinggal berjauhan membuatkan Zalina Ramli, 54, mengambil keputusan memulakan aktiviti bercucuk tanam di kawasan rumahnya di Kampung Paya Pasir, Chenor, Pahang.

Bermula dengan membeli beg poli, biji benih dan racun serangga secara beransur-ansur Zalina mula menanam tumbuhan herba yang banyak digunakan dalam masakan.

“Mulanya saya hanya menanam kunyit, limau purut dan serai kerana kerap digunakan dalam masakan. Lama-kelamaan apabila pokok mulai subur timbul keinginan menanam pokok lain pula,” katanya teruja.

Oleh kerana minat berkebun mulai ada, membuatkan wanita ini menambah tanaman kepada kaduk, halia bara dan saderi (atau daun sup), limau purut, cili api, keladi, terung, kacang botol, timun, kacang panjang dan pelbagai jenis ulam. Untungnya apabila benih yang disemai semuanya menjadi dan membuahkan hasil memberangsangkan.

“Mungkin orang kata tangan saya ‘panas’ sebab itu pokok senang hidup. Betul atau tidak sukar dipastikan mungkin juga kerana saya sendiri pencinta tumbuhan menyebabkan wujudnya rasa dekat dengan tumbuh-tumbuhan ini,” ulasnya.

Ujar Zalina, dalam banyak pokok yang ditanam, kunyit dan serai antara yang menjadi kesayangannya kerana senang hidup. Tambahan pula tumbuhan ini sering digunakan dalam masakan.

“Selain itu melihat daun kunyit yang lebar dan menghijau memberikan kepuasan kepada saya kerana dapat digunakan dalam masakan terutama masak lemak cili padi,” katanya.

POKOK kacang panjang tumbuhan yang mudah ditanam.
POKOK kacang panjang tumbuhan yang mudah ditanam.

Mengakui sejak berkebun, dia jarang ke pasar membeli sayuran kerana semuanya ada di belakang rumah. Beritahu apa sahaja daun herba yang diinginkan hanya perlu petik di belakang rumah.

“Lagipun tinggal berseorangan sudah tentu daun yang diperlukan sedikit sahaja. Ada juga diberi kepada jiran tetangga apabila daunnya sudah matang,” ujarnya.

Sebagai suri rumah, menjadi kebiasaan wanita ini berada di kebun setiap hari bagi memenuhi masa terluang dan melepaskan kesunyiannya. Jam 3 petang dia sudah berada di kebun bagi menyiram pokok-pokok dan berbual-bual dengan tumbuhan kesayangannya.

“Saya rasa tenang dan ceria apabila berpeluang berinteraksi dengan alam. Berkebun bagaikan terapi yang menghilangkan tekanan dan menjadi senaman ringan untuk saya menjaga kesihatan.

“Bermain dengan tanah pula adalah aktiviti menyihatkan badan. Sebab itu saya suka melakukannya. Sekurang-kurangnya dalam keadaan cuaca panas peluh sihat mengalir, sengal badan pula berkurangan disebabkan pergerakan otot ketika menggemburkan tanah,” ujarnya.

Dalam usia sebegini memang dia dinasihatkan melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Bukan hanya duduk berehat di rumah.

Selain melakukan penyiraman Zalina turut menggunakan baja organik dan baja semburan untuk kesemua tanaman yang dilakukan dua minggu sekali. Ini bagi mengelak serangga dan juga ulat yang boleh merosakkan sebahagian daun tanamannya.

“Namun untuk mendapatkan hasil yang diinginkan saya perlu konsisten menyiram dan membaja. Selain itu tengok juga jika ada ulat atau serangga kerana ia boleh menyebabkan pertumbuhan tanaman terbantut.

“Lama-kelamaan daripada tidak tahu apa-apa saya semakin mahir selok-belok bercucuk-tanam. Saya juga dapat menikmati sayuran yang bebas bahan kimia,” katanya yang mengakui sejak berkebun dia dapat menjimatkan wang membeli sayur-sayuran untuk menu harian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 5:00 AM