NOOR Hafizah melihat tanam-tanaman pada setiap pagi. FOTO Siti Zarinah
NOOR Hafizah melihat tanam-tanaman pada setiap pagi. FOTO Siti Zarinah
Siti Zarinah Sahib

DIBESARKAN dalam persekitaran kampung di Bachok, Kelantan, memberi kelebihan kepada Noor Hafizah Mohd Sabri, 47, membantu ibu dan ayahnya menanam pelbagai jenis tanaman di belakang rumah seperti cili, kunyit, tembikai serta timun.

Ketika itu sesiapa yang mempunyai tanah walau hanya sekangkang kera pasti akan menggunakan tanah itu sebaik-baiknya. Ini kerana rugi jika ia dibiarkan begitu saja tanpa diusahakan.

"Di kampung melihat nenek dan ayah yang suka berkebun membuatkan keinginan untuk membantu mereka begitu tinggi. Tambah pula kesukaran mendapatkan daun kunyit dan cili kampung di pasar menyebabkan saya cukup teruja memastikan sayur-sayuran ini hidup subur di belakang rumah," katanya.

Menurut Noor Hafizah apabila semakin mahir mengenai teknik menanam pokok dan cara penjagaan, dia mula memberanikan diri menanam petai, durian dan manggis di dalam pasu. Memang agak mencabar bagi memastikan semaian pokok menjadi.

Selain itu dia juga turut menanam pokok asam gelugor dan kayu manis di dalam pasu yang besar.

“Mulanya memang tidak percaya juga pasu ini dapat menampung akar pokok. Selepas pokok semakin tinggi saya akan memindahkan ke kawasan lapang bagi memudahkan penjagaan,” katanya.

BERCUCUK tanam sebagai terapi diri di rumah. FOTO Siti Zarinah
BERCUCUK tanam sebagai terapi diri di rumah. FOTO Siti Zarinah

Mendapat sokongan suami sepenuhnya, jelas Noor Hafizah, dia mula mencari pelbagai benih pokok ketika mengunjungi ekspo tanaman di Putrajaya. Daripada situ dia mula membeli tanah dan pasu serta pelbagai jenis baja organik.

“Saya bermula dengan menanam anak pokok buah-buahan yang dibeli dari nurseri di Sungai Buloh. Antaranya pokok tin, limau, belimbing buluh, durian, pisang dan mangga. Apabila sudah mendapat rentak tanaman terutama cara semaian sehingga penjagaan saya dan suami mula menambah kepada sayur-sayuran seperti kubis, sawi, cili serta pokok herba seperti kunyit, halia, kantan, limau purut, kari dan pandan.

“Saya dapati penanaman tumbuhan herba lebih mudah dijaga. Ia tidak memerlukan penjagaan rapi seperti pokok bunga atau buah-buahan,” jelasnya yang hanya mengeluarkan kos permulaan sebanyak RM200 untuk benih dan juga peralatan berkebun.

Bagi mengelak penggunaan racun serangga wanita ini menggunakan baja dan racun serangga organik seperti air basuhan ikan dan beras yang sangat bagus kerana menyediakan mineral kepada tumbuhan.

“Petua ini memang menjadi amalan nenek moyang. Malah saya sering melihat ibu mencurahkan air basuhan ikan setiap pagi ke atas pokok herba di tepi rumah. Apabila ditanya, ibu memberitahu ia memang petua untuk menyuburkan pokok,” katanya yang turut menggunakan baja penggalak bunga bagi melebatkan bunga. Bagi mengelak kucing membuang najis di dalam pasu bunga Noor Hafizah turut meletakkan beberapa biji bawang di tepi tanaman.

“Petua ini juga nampaknya berkesan kerana tiada lagi kucing yang datang membuang najis di serata tempat terutama di dalam pasu bunga,” ujarnya.

Melakukan aktiviti pembajaan setiap dua minggu dan semburan racun serangga perosak pada setiap minggu bagi memastikan tanamannya bebas serangga serta mengelak daripada ulat dan siput.

KUBIS yang ditanam di belakang rumah hidup subur. FOTO Siti Zarinah
KUBIS yang ditanam di belakang rumah hidup subur. FOTO Siti Zarinah

Sebagai suri rumah Noor Hafizah mengatur aktiviti pada setiap pagi dengan memastikan urusan menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak sebelum menghantar mereka ke sekolah.

“Selepas pulang ke rumah barulah saya melihat kebun di belakang rumah, menyiram, mencabut rumput atau memberikan baja ke atas tanam-tanaman. Memang ketika ini terasa seperti bersenam walaupun aktivitinya ringkas sahaja namun ia dapat mengeluarkan peluh,” katanya.

Dia mengakui menerima sokongan suami terutama dalam urusan membeli benih pokok dan peralatan tanaman. Selain itu pada hujung minggu suami turut membantu menyiram sayur-sayuran bersama-sama.

“Anak turut mempunyai minat bercucuk tanam selepas melihat saya dan suami bersungguh-sungguh menjaga pokok herba dan memastikan tanaman ini disiram setiap pagi," katanya.

Ujar Noor Hafizah, sekiranya arwah ayahnya masih hidup sudah tentu dia turut memberikan pendapat dan nasihat mengenai penanaman pokok. Dia yang turut memberikan inspirasi kepada jiran mengenai kebaikan bercucuk tanam. Mengakui walaupun kos yang digunakan tidaklah besar tetapi sekurang-

kurangnya dia tidak perlu bersusah payah ke kedai sekiranya pandan atau daun kari tiada dalam simpanan.

“Apa yang saya perlu lakukan adalah petik sahaja di belakang rumah dan gunakan tanpa ragu-ragu kerana semua pokok ini tiada racun kimia dan selamat dimakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 1:52 PM