RUANG permainan di AFY.
RUANG permainan di AFY.
ANTARA haiwan yang terdapat di AFY.
ANTARA haiwan yang terdapat di AFY.
HM Digital

Terapi haiwan atau dikenali sebagai AAT (animal assisted therapy) bukan fenomena baru di Barat selepas saintis mendapati kanak-kanak berkeperluan khas yang memiliki haiwan peliharaan lebih terurus ketika berdepan tekanan perasaan berbanding mereka yang tiada binatang peliharaan.

Ia adalah rawatan pemulihan untuk kanak-kanak berkeperluan khas menggunakan haiwan sebagai medium untuk memulih dan merangsang perasaan atau emosi mereka melalui interaksi bersama haiwan.

Di negara ini, Animals for Young (AFY) antara pusat intervensi awal holistik untuk kanak-kanak keperluan khas menggunakan kaedah terapeutik bagi membantu dalam intervensi awal kanak-kanak autisme.

Pengasasnya, Dr EJ Khew berkata, haiwan peliharaan bukan sekadar mengisi masa terluang sebaliknya ramai yang tidak menyedari terapi haiwan turut membantu dalam perkembangan emosi, fizikal dan sosial untuk manusia.

Katanya, banyak yang mampu ditawarkan oleh haiwan untuk kanak-kanak, bukan sekadar membelainya semata-mata atau dijadikan hobi.

“Selain membantu perkembangan psikososial mereka, seperti membina hubungan, meningkatkan harga diri dan motivasi serta mengurangkan tekanan, haiwan juga boleh membantu dalam perkembangan kemahiran motor, komunikasi dan masalah deria kanak-kanak.

“Aktiviti itu mampu menjadi terapi kepada pelbagai masalah kesihatan terutama kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran, autisme, sindrom Down dan lembam,” katanya.

Menurutnya, selain autisme, pusat itu turut membantu dalam intervensi awal kanak-kanak dengan masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD), palsi serebrum, gangguan penyelarasan pembangunan (DCD/dispraksia), sindrom Down, kelewatan pembangunan global (GDD), gangguan membaca dan pembelajaran (disleksia), gangguan pemprosesan sensor (SPD), lewat bertutur dan bahasa.

Kemahiran motor

Aktiviti dengan haiwan mampu meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak. Aktiviti praset menawarkan terapi cara kerja untuk membantu kanak-kanak keperluan khas dalam melaksanakan tugas mudah dengan cara yang menyeronokkan.

Kemahiran komunikasi

Ikatan yang dibina antara kanak-kanak dan haiwan akan membantu kemahiran komunikasi kanak-kanak autisme. Kanak-kanak keperluan khas akan mendapati lebih mudah untuk berkomunikasi dengan haiwan dan ini batu loncatan penting untuk meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

Kemahiran deria

Interaksi dengan haiwan juga akan meningkatkan deria kanak-kanak dan sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak keperluan khas membina kemahiran deria mereka.

Kemahiran sosial

Kanak-kanak keperluan khas sering menghindari interaksi dan bercampur dengan orang lain. Haiwan akan memberi kanak-kanak perasaan yang hangat dan selamat bagi mereka untuk memiliki keyakinan untuk berhubung dengan orang lain.

Capai matlamat

Sementara itu Juruterapi Cara kerja AFY, Norshazrini yang berpengalaman bekerja dengan lebih 1,000 kanak-kanak keperluan khas berkata, haiwan boleh membantu juruterapi dalam mencapai matlamat yang dirancang.

Katanya, kanak-kanak lebih bermotivasi apabila haiwan digunakan dalam keadaan terkawal. Haiwan juga memberi manfaat kepada kanak-kanak dalam kemahiran deria dan sosial.

Kanak-kanak dalam program itu akan dinilai dan program individu akan dirancang untuk mereka. Program Intervensi Animals for Young (AYIP) akan menggabungkan AAT, terapi cara kerja, integrasi deria, analisis perilaku terapan (ABA), kesediaan sekolah, seni dan origami, muzik dan pergerakan.

Selain itu, ia turut menggabungkan pelbagai aktiviti lain seperti sukan, bakeri, boneka, terapi bermain, kemahiran hidup, kemahiran fungsi akademik (kemahiran Matematik dan seni bahasa), pembelajaran berasaskan komuniti dan kemahiran sosial.

Dr Khew yang juga mengasaskan kafe kucing pertama Malaysia untuk membantu menghadapi kemurungan berkata, AFY yang terletak di Cyberjaya itu akan menjadi projek pertama dalam membantu kanak-kanak keperluan khas.

Selanjutnya, pihaknya akan berusaha membina projek ekopelancongan menggunakan haiwan, apabila golongan berkeperluan khas akan mempunyai tempat bekerja, sambil memenuhi keperluan mereka untuk berhubung dengan haiwan ini.

“Projek yang akan datang ini akan dikenali sebagai Furry-tail Land, tempat golongan keperluan khas akhirnya akan menemui saat ‘gembira-selama-lamanya’,” katanya. -Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 9:46 AM