SALIM Berrada. FOTO Agensi
SALIM Berrada. FOTO Agensi
AFP

Paris: Mahkamah Perancis, pada Jumaat, menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas seorang lelaki kerana merogol dan melakukan serangan seksual terhadap beberapa wanita yang dikenali melalui aplikasi janji temu Tinder dan media sosial lain, untuk mengambil gambar mereka.

Tertuduh, Salim Berrada, 38, yang juga seorang bekas jurugambar dari Maghribi, didapati bersalah atas 12 tuduhan rogol dan tiga serangan seksual, dan akan diwajibkan meninggalkan Perancis dalam kes yang digelar 'Perogol Tinder', sempena aplikasi janji temu popular itu.

Dia didakwa merogol atau menyerang secara seksual terhadap 17 wanita, tetapi dia dibebaskan daripada tuduhan merogol dua lagi mangsa yang didakwa kerana kekurangan bukti dan wujud keraguan.

Berrada tidak memberikan sebarang reaksi atau emosi ketika keputusan dibacakan, manakala mangsanya menghela nafas lega ketika ketua hakim membacakan nama mereka satu demi satu.

Apabila perbicaraan dua minggu itu berakhir, beberapa wanita berdiri untuk bertepuk tangan, menjerit dan berterima kasih dan memeluk antara satu sama lain.

Pendakwa raya pada awalnya meminta hukuman penjara 19 tahun untuk Berrada, dengan mengatakan dia menjemput wanita yang dikenalinya dalam talian pada 2015 dan 2016 untuk merakam gambar modeling dan menyerang mereka semasa pertemuan itu.

Defendan bagaimanapun menafikan pertuduhan itu, dengan mengatakan hubungan seksual itu semua adalah berdasarkan persetujuan.

Pendakwa raya pada Khamis berhujah bahawa Berrada ketagih seks dan menjadikan wanita sebagai mangsa, mempunyai modus operandi yang sangat mantap, licik dan kompulsif serta sangat berbahaya.

Siasatan mendapati bahawa dia mengikuti senarai yang direkodkan dalam Excel, sebelum mendekati mangsa berpotensi.

Apabila wanita tiba untuk sesi penggambaran, Berrada menawarkan mereka minum, kata pendakwa raya.

Sebaik sahaja mereka menerima pelawaan itu, wanita itu berkata, mereka merasakan mabuk dan lemah secara tiba-tiba, yang dikatakan penyiasat merujuk kepada minuman yang dicampur dengan dadah.

Pendakwa raya berkata, Berrada amat berbahaya kerana dia adalah pesalah berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 10:50 AM