CAREY merogol wanita di pusat jagaan warga emas. FOTO AGENSI
CAREY merogol wanita di pusat jagaan warga emas. FOTO AGENSI
Agensi

London: Seorang pekerja kebajikan dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah merogol wanita warga emas berusia 99 tahun di sebuah pusat penjagaan di Blackpool, Lancashire.

Rahsia itu terbongkar selepas perbuatan jijik lelaki terbabit ditonton keluarga wanita itu yang meletakkan kamera tersembunyi.

Phillip Carey, 48, dituduh melakukan serangan terhadap mangsa di sebuah rumah penjagaan warga emas.

Dia ditahan kerana melakukan serangan seksual selepas perbuatan itu dirakam kamera tersembunyi yang diletakkan keluarga mangsa bagi memantau aktiviti di pusat penjagaan itu.

Carey mengaku bersalah atas kesalahan itu di hadapan hakim Mahkamah Crown Preston.

Pendakwa raya berkata, keluarga mangsa pelik apabila melihat perubahan mendadak sikap wanita terbabit.

Mangsa tidak membenarkan sesiapa menyentuhnya ketika ahli keluarga datang melawat, selain merayu supaya tidak ditinggalkan.

"Jangan tinggalkan saya, mereka akan menyakiti saya," rayu warga emas itu.

Keluarga mangsa kemudian memasang satu kamera di lokasi tersembunyi di bilik berkenaan bagi mengesan punca perubahan sikap warga emas itu.

Mengejutkan apabila Carey masuk ke dalam bilik wanita itu sebelum merogol dan melakukan serangan seksual terhadap mangsa.

Keluarga mangsa menghubungi polis yang kemudiannya bertindak menahan Carey.

Dia mengaku bersalah selepas pihak pendakwaan mengemukakan bukti forensik dan rakaman video perbuatannya itu.

Pendakwa Raya Kanan Sophie Rozdolskyj berkata, Carey mencabuli kedudukan dan kepercayaan diberikan kepadanya terhadap wanita yang sepatutnya dijaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 7:00 AM