DR ZHI Alan Cheng. FOTO NBC
DR ZHI Alan Cheng. FOTO NBC
Agensi

New York: Seorang doktor dipercayai terbabit dalam jenayah rogol bersiri dengan menyuntik ubat bius dan dadah yang digunakan untuk pembedahan, sebelum merogol mangsa.

Dr Zhi Alan Cheng, pakar gastroenterologi berusia 33 tahun dari New York City itu didakwa terbabit 50 pertuduhan melakukan penderaan seksual dan merogol mangsa perempuan berusia 19 hingga 47 tahun, dengan kebanyakan serangan terhadap mangsa di rumahnya dan di hospital, tempatnya bekerja.

Daily Star melaporkan, seorang wanita, bekas rakan kongsi Cheng pada Disember 2022 mendakwa suspek menggunakan topeng K-N95 yang diisi dengan kapas yang direndam cecair tertentu untuk menjatuhkannya, dan kemudian merakamkan serangan rogol terhadap wanita itu.

Dia difahamkan menemui rakaman serangan terhadapnya itu, serta wanita lain di hospital tempat dia bekerja.

Susulan siasatan polis, Cheng dipecat dari Hospital Queens New York-Presbyterian.

Pendakwa raya sejak itu mendakwa kesalahan Cheng juga terhadap wanita lain dengan beberapa serangan didakwa berlaku di rumahnya di Astoria, New York; Las Vegas; San Francisco dan Thailand.

Mangsanya dikatakan berumur antara 19 dan 47 tahun.

Video menunjukkan enam wanita diserang. Bagaimanapun, pendakwa raya mendakwa terdapat lebih banyak mangsa.

Antara kes, dia juga dituduh merogol seorang remaja berusia 19 tahun sebelum pembedahan pundi hempedu terhadap mangsa.

Susulan itu juga, peguam daerah Queens, Melinda Katz meminta supaya mereka yang mempunyai petunjuk boleh dikaitkan dengan kes berkaitan digesa untuk tampil.

Melinda berkata, bukti menunjukkan suspek disifatkan pemangsa seksual jenis yang paling teruk, perogol bersiri yang bersedia untuk melanggar setiap standard kesopanan manusia.

Serbuan di rumah Dr Cheng pada 2022 menemui fentanil, ketamin dan beberapa ubat bius yang digunakan semasa pembedahan.

Hospital Queens New York-Presbyterian berkata, pada Disember 2022, sebaik sahaja Peguam Daerah memaklumkan mengenai penderaan seksual, Dr Cheng dipecat serta-merta .

Susulan pengakuan tidak bersalah ketika dihadapkan di mahkamah, Dr Cheng kini ditahan reman di lokap di Pulau Rikers, untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 12:37 PM