FOTO pada 26 Januari menunjukkan tentera Rusia ketika menyertai latihan ketenteraan di banjaran Kuzminsky di tenggara wilayah Rostov, Rusia. FOTO Reuters
FOTO pada 26 Januari menunjukkan tentera Rusia ketika menyertai latihan ketenteraan di banjaran Kuzminsky di tenggara wilayah Rostov, Rusia. FOTO Reuters
AFP

Brussels: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menghantar 'cadangan' bertulis penyelesaian diplomatik kepada Moscow, susulan peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran Ukraine, baru-baru ini, kata Setiausaha Agung Jens Stoltenberg.

"Kami kini mahu mendapatkan Rusia sekali lagi dengan berdialog dan mencari penyelesaian politik.

"Namun kini kami berharap kerjasama ini akan mencapai keputusan yang baik selain kami membuat persiapan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangka," katanya.

Timbalan Menteri Luar Rusia Alexander Grushko mengesahkan kepada agensi berita Interfax bahawa Moscow sudah menerima dokumen daripada Nato yang diserahkan kepada wakil Rusia di Brussels.

Ketika ditanya tempoh Rusia akan memberi maklum balas, Grushko berkata, pihaknya akan meneliti kandungan cadangan itu terlebih dulu.

"Kami akan baca dan kaji cadangan itu. Mereka juga mengambil masa satu bulan setengah untuk mengkaji draf kami," katanya.

Stoltenberg berkata, Nato bersedia untuk mengadakan 'perbincangan sebenar' dengan Rusia, namun Moscow menuntut perbincangan itu dilakukan secara tertutup tanpa pembabitan Ukraine.

"Kami tidak akan berkompromi dengan prinsip yang membabitkan keselamatan rakan sekutu serta keselamatan di Eropah dan Amerika Utara," katanya.

Cadangan sekutu itu diserahkan ketika AS menyerahkan maklum balas bertulis kepada Kremlin.

Moscow sebelum ini mengecam tindakan Barat yang menerbitkan dua draf perjanjian untuk Amerika Syarikat dan Nato pada Disember lalu, dengan menyaksikan pengaruh Washington semakin kukuh di Eropah timur.

Tuntutan itu dibuat ketika Moscow mengumpulkan kira-kira 100,000 tentera di sempadan Ukraine dengan Barat menganggap ia menjadi permulaan kepada pencerobohan berskala besar.

Stoltenberg berkata, Nato berpendapat pertubuhan itu boleh terbabit secara konstruktif dengan Kremlin termasuk meningkatkan komunikasi, ketelusan membabitkan latihan ketenteraan dan kawalan senjata.

Nato berharap tawarannya cukup untuk meyakinkan Moscow untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pertubuhan itu dan meredakan ketegangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 11:45 AM