VOLODYMYR Zelensky. FOTO EPA
VOLODYMYR Zelensky. FOTO EPA

Reuters

Kyiv: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Rabu berkata, rundingan damai kedengaran lebih realistik tetapi lebih banyak masa diperlukan, apabila serangan udara Rusia mengorbankan lima orang di ibu kota Kyiv dan jumlah pelarian kini mencecah tiga juta.

Setakat ini, Moscow tidak menawan mana-mana 10 bandar terbesar di Ukraine sejak serangan yang bermula pada 24 Februari.

Pegawai Ukraine yang berharap perang akan berakhir lebih awal, iaitu menjelang Mei berkata, Moscow mungkin akan menerima kegagalannya untuk mengenakan kerajaan baharu secara paksa dan kehabisan tentera baru.

"Mesyuarat diteruskan, dan saya dimaklumkan, kedudukan semasa rundingan sudah kedengaran lebih realistik. Tetapi masih banyak masa diperlukan untuk keputusan itu demi kepentingan Ukraine," kata Zelenskiy dalam video ucapannya.

Dalam petunjuk kemungkinan ada kompromi, Zelenskiy berkata, sebelum ini Ukraine bersedia untuk menerima jaminan keselamatan daripada Barat yang tidak mencapai matlamat jangka panjangnya untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Moscow melihat mana-mana keanggotaan Ukraine dalam Pakatan Barat sebagai ancaman dan menuntut jaminan ia tidak akan menyertainya.

Sementara, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata, masih terlalu awal untuk meramalkan kemajuan dalam rundingan itu.

"Kerjanya sukar, dan dalam situasi sekarang fakta bahawa (perbincangan) diteruskan mungkin positif.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan melakukan lawatan pertamanya ke Eropah sejak Rusia menyerang Ukraine untuk berbincang dengan sekutu NATO minggu depan, kata Rumah Putih.

Biden akan menghadiri mesyuarat pemimpin NATO di Ibu Pejabat Pakatan Tentera di Brussels pada 24 Mac.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau juga akan hadir.

Biden dijangka mengumumkan bantuan keselamatan tambahan sebanyak AS$800 juta kepada Ukraine pada Rabu, kata seorang pegawai Rumah Putih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 1:30 PM