TENTERA Ukraine menyertai latihan ketenteraan di satu lokasi dirahsiakan pada 18 Februari. FOTO Reuters
TENTERA Ukraine menyertai latihan ketenteraan di satu lokasi dirahsiakan pada 18 Februari. FOTO Reuters
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, pada Jumaat, memberitahu Presiden Rusia Vladimir Putin sudah memutuskan untuk menyerang Ukraine.

Selain itu, Putin didakwa terus menyebarkan maklumat palsu dalam usaha mencari alasan bagi serangan tentera yang boleh berlaku dalam beberapa hari.

"Setakat ini saya yakin beliau (Putin) sudah membuat keputusan (untuk menceroboh).

"Kami mempunyai sebab untuk mempercayainya.

"Kami percaya mereka akan menyasarkan ibu negara Ukraine, Kyiv, sebuah bandar dengan 2.8 juta orang tidak bersalah," katanya kepada pemberita di sini.

Biden memberi kenyataan itu selepas membuat panggilan telefon dengan pemimpin Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Poland, Romania, Britain, negara Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), kata Rumah Putih.

Pemimpin terbabit berjanji untuk meneruskan diplomasi sambil bersiap sedia untuk mengenakan sekatan ekonomi segera dan terkoordinasi ke atas Rusia sekiranya ia memilih konflik selanjutnya, berdasarkan maklum balas Rumah Putih mengenai panggilan itu.

Mereka juga membincangkan usaha untuk memastikan pertahanan dan keselamatan sayap timur Nato, kata Rumah Putih.

Menurut Biden, penyelesaian secara diplomatik mungkin kekal jika Rusia memilihnya, namun Washington dan sekutu Eropahnya bersedia untuk menggubal hukuman keras jika Moscow bertindak untuk menyerang.

Tambah Biden, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov merancang untuk bertemu pada 24 Februari di Eropah.

Namun, beliau memberi amaran sebarang tindakan ketenteraan Rusia sebelum tarikh itu akan menunjukkan negara berkenaan memberi isyarat bahawa pintu diplomasi sudah ditutup.

Sementara itu, Naib Presiden AS Kamala Harris yang mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agong Nato, Jens Stoltenberg pada Persidangan Keselamatan Munich pada hari Jumaat, menyatakan kebimbangan di tengah-tengah peningkatan krisis itu dan berjanji untuk terus berhubung dengan Nato dan sekutu AS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 9:44 AM