JENS Stoltenberg. FOTO Reuters
JENS Stoltenberg. FOTO Reuters
AFP

Brussels: Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Jens Stoltenberg, pada Jumaat berkata, pakatan itu akan mengerahkan pasukan tindak balas pantasnya untuk pertama kali, untuk meningkatkan pertahanan ketika penjajahan Rusia ke atas Ukraine.

"Ini adalah situasi yang berubah-ubah. Kita susah melihat tentera Ukraine berjuang dengan berani dan sebenarnya boleh menyebabkan kerosakan terhadap tentera Rusia," kata Stoltenberg selepas menghantar video kepada pemimpin Nato.

Beliau berkata, ini adalah penjajahan penuh oleh Ukraine.

"Ia (Rusia) kini bergerak ke arah Kyiv dan matlamatnya adalah untuk menukar kerajaan Ukraine," katanya.

Stoltenberg memberi amaran bahawa tindakan Kremlin akan mewujudkan 'kebiasaan baharu', dan secara lebih besarnya, mengancam keselamatan Eropah.

"Kita sudah mempertingkatkan pencegahan dan pertahanan," katanya.

Beliau berkata, semalam, Nato mengaktifkan pelan pertahanan dan mengerahkan elemen Pasukan Tindak Balas Nato (NRF) di darat, laut dan udara.

Ia katanya, bagi memperkukuh kedudukan dan tindak balas, jika ada sebarang kecemasan.

Perkembangan itu adalah tindakan terbaharu Nato dalam mempertingkat pertahanan selepas pakatan diterajui oleh Amerika Syarikat (AS) itu mengerahkan ribuan tentera ke negara di sebelah timur ketika Kremlin melakukan tindakan ke atas Ukraine.

"Kita sudah mempunyai 100 jet yang berwaspada pada tahap tinggi, beroperasi di 30 lokasi berbeza dan lebih 120 kapal dari utara jauh sehingga ke (kawasan Laut) Mediterranean," kata Stoltenberg.

Beliau berkata, langkah itu adalah untuk menghalang serangan dan mengelak perang di Ukraine daripada 'merebak' di negara lain yang menjadi anggota Nato.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi NRF itu dihantar, sebaliknya menyatakan ia bergantung kepada keputusan komander tertinggi Nato.

Ditubuhkan pada 2003, NRF terdiri daripada 40,000 anggota dan meliputi 8,000 kontinjen dengan kesiapsiagaan tertinggi dengan tentera laut, udara, operasi khas yang mampu dikerahkan dalam tempoh hanya beberapa hari.

Di Washington, jurucakap Pentagon, John Kirby berkata, tentera AS sudah berada di Eropah, dengan tambahan 7,000 tentera diarahkan untuk dihantar ke Jerman, minggu ini, manakala yang lain diarah bersiap sedia di tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 8:26 AM