Kyaw Zwar Minn menunggu di luar bangunan Kedutaan Myanmar di London. FOTO AFP
Kyaw Zwar Minn menunggu di luar bangunan Kedutaan Myanmar di London. FOTO AFP
AFP

London: Duta Myanmar ke United Kingdom (UK) menuduh individu mempunyai kaitan dengan junta sudah mengambil alih kedutaan negara itu di sini.

Selain itu, beliau mendakwa sudah tidak lagi dibenarkan memasuki kedutaan berkenaan.

Susulan itu, Duta Myanmar ke UK, Kyaw Zwar Minn bersama-sama penunjuk perasaan berada di luar bangunan berkenaan.

Ditanya siapa yang berada di dalam bangunan, Kyaw Zwar Minn berkata: "Atase Pertahanan.. mereka menduduki kedutaan saya".

Duta berkenaan memberitahu AFP beliau akan duduk di luar kedutaan itu 'sepanjang malam' dan menegaskan bahawa 'ini bangunan saya'.

Kyaw Zwar Minn memberitahu Daily Telegraph bahawa individu itu menduduki bangunan berkenaan selepas beliau meninggalkan kedutaan.

"Mereka berkata menerima arahan dari ibu negara (Yangon), jadi mereka tak benarkan saya masuk," katanya sambil menggesa campur tangan kerajaan UK.

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Aung San Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Susulan itu, demonstrasi tercetus di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 10:32 AM