TUNJUK perasaan di Yangon bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera. FOTO AFP
TUNJUK perasaan di Yangon bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera. FOTO AFP
AFP

Yangon: Remaja Myanmar menggunakan newsletter (surat berita) untuk memberi maklumat kepada masyarakat susulan tindakan junta yang menyekat akses internet.

Sejak 56 hari lalu, akses internet di negara itu disekat, menurut kumpulan pemerhati NetBlocks.

Sehingga kini, demonstrasi bagi membantah rampasan kuasa di negara itu sudah mengorbankan lebih 700 orang awam.

Ribuan orang memuat turun versi PDF newsletter seperti itu, mencetak sebelum mengedarkannya di kawasan kejiranan di Yangon, Mandalay dan tempat lain.

Dalam pada itu, media bebas juga berdepan ancaman dengan 64 wartawan sudah ditahan sejak rampasan kuasa dengan 33 daripadanya masih berada di pusat tahanan, menurut kumpulan pemerhati, Reporting ASEAN.

Junta juga menarik balik lesen untuk lima organisasi media.

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Aung San Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Susulan itu, demonstrasi tercetus di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 10:57 AM