ORANG ramai menyertai upacara pengebumian salah seorang individu yang maut terkena tembakan ketika menyertai demonstrasi di Monywa, wilayah Sagaing bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera Myanmar. FOTO AFP
ORANG ramai menyertai upacara pengebumian salah seorang individu yang maut terkena tembakan ketika menyertai demonstrasi di Monywa, wilayah Sagaing bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera Myanmar. FOTO AFP
AFP

Yangon: Lebih 500 orang maut dalam siri demonstrasi bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera Myanmar, menurut kumpulan pemerhati tempatan pada Selasa.

Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) mengesahkan 510 orang awam sudah terkorban tetapi tidak menolak angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Susulan itu, demonstrasi tercetus di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) juga sudah menangguhkan perjanjian perdagangan dengan Myanmar, selepas lebih 100 orang terkorban pada demonstrasi, hujung minggu lalu.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa dunia untuk mengenakan tekanan kepada junta tentera Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 11:26 AM