PAING Takhon. FOTO Agensi
PAING Takhon. FOTO Agensi
AFP

Yangon: Junta Myanmar menahan seorang pelakon, penyanyi dan model popular di negara itu yang menyokong gerakan anti-rampasan kuasa, menurut satu laporan.

Selain itu, laporan mendakwa junta memburu 100 lagi selebriti yang menyokong gerakan berkenaan.

Paing Takhon, 24, bintang utama di Myanmar dan popular di Thailand, dilihat menyertai demonstrasi membantah rampasan kuasa.

Selain itu, beliau aktif mempromosikan gerakan itu kepada pengikut di media sosialnya.

Artis itu ditahan di rumah ibunya dan dibawa ke kawasan North Dagon di sini, pada 5 pagi waktu tempatan, menurut laporan media tempatan.

AFP sudah menghubungi ahli keluarga artis itu untuk mengesahkan penahanannya.

Junta sudah mengeluarkan senarai 120 selebriti untuk ditahan termasuk penyanyi, Lin Lin dan Chit Thu Wai; aktor, Phway Phway, Eaindra Kyaw Zin dan Pyay Ti Oo; dan model, May Myat Noe.

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Aung San Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Susulan itu, demonstrasi tercetus di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 12:39 PM