KYAW Zwar Minn di luar bangunan Kedutaan Myanmar di London. FOTO AFP
KYAW Zwar Minn di luar bangunan Kedutaan Myanmar di London. FOTO AFP
AFP

London: United Kingdom (UK) bersedia untuk menawarkan perlindungan kepada Duta Myanmar ke UK, Kyaw Zwar Minn.

Ia selepas beliau dihalang daripada memasuki bangunan kedutaan negaranya selepas diambil alih oleh diplomat pro-junta.

Menteri Negara untuk Asia UK, Nigel Adams memberi jaminan itu selepas pertemuan dengan Kyaw Zwar Minn.

Media sebelum ini melaporkan individu yang mempunyai kaitan dengan junta sudah mengambil alih Kedutaan Myanmar di sini.

Kyaw Zwar Minn juga memberitahu Daily Telegraph bahawa individu itu menduduki bangunan berkenaan selepas beliau meninggalkan kedutaan.

Selain itu, beliau mendakwa dihalang daripada memasuki bangunan itu.

Susulan itu, Kyaw Zwar Minn terpaksa bermalam di dalam keretanya.

Duta itu kemudian memohon pertolongan kerajaan UK memandangkan nyawanya dalam keadaan bahaya, jika kembali ke Myanmar.

Ditanya pemberita sama ada dia akan mati jika bersetuju dengan permintaan junta untuk pulang, Kyaw Zwar Minn berkata: "Siapa yang tahu?".

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Aung San Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Susulan itu, demonstrasi tercetus di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 3:42 PM