Gunung Ruang meletus sebanyak lima kali. FOTO AFP
Gunung Ruang meletus sebanyak lima kali. FOTO AFP
AFP

Manado: Anggota penyelamat Indonesia bertungkus lumus memindahkan ribuan orang, pada Khamis, selepas Gunung Ruang di Sulawesi Utara meletus lima kali, memaksa pihak berkuasa menutup lapangan terbang berhampiran dan mengeluarkan amaran serpihan yang jatuh, boleh menyebabkan tsunami.

Kawah Gunung Ruang berapi-api dengan lahar berlatarkan panahan petir semalaman selepas meletus empat kali pada Rabu, memaksa pihak berkuasa menaikkan tahap berjaga-jaga ke tahap tertinggi dalam sistem empat peringkat.

Gunung berapi di wilayah paling luar di Indonesia itu masih mengeluarkan asap pada pagi Khamis, menyebabkan pihak berkuasa menutup lapangan terbang antarabangsa terdekat di bandar Manado di Pulau Sulawesi, selama 24 jam.

Pihak berkuasa berkata, mereka bergegas untuk memindahkan 11,000 penduduk dari kawasan berhampiran termasuk pulau terpencil Tagulandang, yang menempatkan kira-kira 20,000 orang.

"Malam tadi (Rabu), orang ramai berpindah sendiri tetapi tiada arah tuju akibat letusan gunung berapi dan bahan-bahan berupa batu-batu kecil, jadi orang ramai berselerak mencari laluan pemindahan," kata pegawai dari agensi mencari dan menyelamat tempatan, Jandry Paendong, katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, 20 kakitangan sedang membantu memindahkan penduduk di sepanjang pantai berhampiran gunung berapi, dengan menggunakan bot getah.

Dia meminta lebih banyak bot dan peralatan supaya pasukannya boleh "menjalankan pemindahan untuk orang ramai di pantai atau berhampiran pantai" iaitu kawasan yang menghadap gunung berapi.

Pelancong dan penduduk diberi amaran untuk kekal di luar zon pengecualian sepanjang enam kilometer.

Lebih 800 orang pada mulanya dibawa ke tempat selamat dari Ruang ke pulau Tagulandang, yang terletak berhampiran, selepas letusan pertama pada petang Selasa, sebelum empat lagi letusan pada Rabu.

Pihak berkuasa juga memberi amaran kemungkinan tsunami akibat letusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 1:46 PM