GAMBAR hiasan. Penumpang pesawat beratur di kaunter berikutan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan. FOTO AIZUDDIN SAAD
GAMBAR hiasan. Penumpang pesawat beratur di kaunter berikutan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Sabah, Sarawak dan Brunei dibatalkan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak tidak terjejas susulan letusan Gunung Berapi Ruang berdasarkan pencerapan indeks pencemaran udara (IPU).

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, Gunung Berapi Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia, berketinggian 725 meter (m) dari paras laut meletus, kelmarin.

Katanya, letusan gunung berapi berkenaan menjejaskan operasi penerbangan di Sabah dan Sarawak.

"Ketinggian letusan yang dicerap adalah sehingga 55,000 kaki dan awan debu yang terbentuk boleh menyebabkan risiko kepada keselamatan pesawat.

"Bagaimanapun setakat ini, kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak tidak terjejas berdasarkan pencerapan indeks pencemaran udara (IPU)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, Indonesia sudah meningkatkan amaran letusan gunung berapi berkenaan pada Tahap 4 (AWAS) dan menjangkakan ia akan terus aktif serta boleh meletus dari semasa ke semasa.

"MET Malaysia akan terus memantau kesan letusan Gunung Berapi Ruang terhadap negara ini.

"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial," katanya.

Terdahulu, media melaporkan syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah serta Sarawak, hari ini, susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia.

Sebanyak 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur serta lapan penerbangan Sarawak dan Kuala Lumpur yang dibatalkan oleh Malaysia Airlines, hari ini.

AirAsia pula membatalkan 16 penerbangan dengan semua penumpang terjejas boleh membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.

Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak semalam.

Rakaman menunjukkan aliran lava merah mengalir menuruni gunung dan ia dipantulkan di permukaan air serta asap kelabu berkepul di atas kawahnya.

Pulau Ruang adalah rumah kepada 838 penduduk dengan kebanyakan mereka dipindahkan ke Pulau Tagulandang terdekat.

Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik dengan kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 5:47 PM