BERNAMA

Jakarta: Peningkatan aktiviti gunung berapi di Gunung Ruang di Kepulauan Sitaro, wilayah Sulawesi Utara, sejak Selasa menyebabkan pemindahan 272 keluarga atau 828 individu dari kampung berhampiran.

Tempat perlindungan sementara di sekitar kawasan Tagulandang kini menempatkan 45 orang, manakala 783 orang lagi berpindah ke rumah saudara-mara berhampiran atau pergi ke tanah besar menggunakan feri dan bot.

Pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat selama 14 hari, berkuat kuasa dari 16 hingga 29 April.

Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) menyediakan barangan keperluan termasuk 123 tikar, 120 selimut dan 400 pelitup muka.

"Kerajaan tempatan menggerakkan 50 anggota termasuk daripada agensi mitigasi daerah (BPBD), agensi mencari dan menyelamat (Basarnas), petugas kesihatan dan bomba," kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau juga melaporkan bahawa letusan malam Selasa memuntahkan abu gunung berapi, yang mengganggu rangkaian komunikasi dan isyarat di kampung Laingpatehi.

Status gunung berapi itu dinaikkan daripada Tahap II (Awas) kepada Tahap III (Amaran) pada 4 petang waktu tempatan Selasa.

"Penduduk dan pelancong dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengelak daripada memasuki radius empat kilometer di sekitar kawah aktif gunung berapi Gunung Ruang," kata Abdul Muhari.

Terkini: 11,000 penduduk terpaksa dipindahkan

LETUSAN Gunung Ruang di Kepulauan Sitaro, wilayah Sulawesi Utara, pada Rabu lalu. FOTO AFP
LETUSAN Gunung Ruang di Kepulauan Sitaro, wilayah Sulawesi Utara, pada Rabu lalu. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:02 AM