PENUMPANG menunggu untuk menaiki kereta api laju Shinkansen. FOTO AFP
PENUMPANG menunggu untuk menaiki kereta api laju Shinkansen. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Situasi luar biasa terjadi apabila perkhidmatan kereta api laju Shinkansen yang menjadi kebanggaan di Jepun, mengalami kelewatan selama 17 minit, Selasa lalu.

Seorang penumpang memaklumkan ia disebabkan seekor ular yang panjangnya 40 sentimeter ditemukan di dalam kereta api itu, yang dalam perjalanan antara Nagoya dan Tokyo.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat memberitahu AFP yang tiada kecederaan dilaporkan.

Difahamkan, penumpang kereta api laju itu membawa anjing kecil, kucing dan haiwan lain, termasuk merpati di dalam gerabaknya, namun ia tidak membabitkan ular.

"Sukar untuk membayangkan ular menyelinap masuk dalam kereta api di salah satu stesen. Kami mempunyai peraturan untuk penumpang tidak dibenarkan membawa ular ke dalam Shinkansen.

"Tetapi kami tidak memeriksa bagasi penumpang," kata jurucakap itu kepada AFP.

Kereta api itu pada asalnya dijadualkan pergi ke Osaka, tetapi syarikat itu memutuskan untuk menggunakan kereta api berbeza untuk perjalanan berkenaan.

Keselamatan dipertingkat pada perkhidmatan Shinkansen selepas insiden pada 2018 yang menyaksikan kejadian tikaman hingga mengakibatkan kematian

Aspek itu dipertingkat untuk Sukan Olimpik Musim Panas pada 2021 dan mesyuarat Kumpulan G7, pada tahun lepas.

Menurut Japan Railways, sejak pertama kali dilancarkan pada 1964, rangkaian Shinkansen tidak pernah mengalami kemalangan yang mengakibatkan mana-mana penumpang maut atau cedera.

Kereta api itu boleh bergerak pada kelajuan 285 kilometer sejam, dengan kelewatan purata 0.2 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:08 AM