KEADAAN trafik susulan pencemaran udara di Hanoi, Vietnam. FOTO Reuters.
KEADAAN trafik susulan pencemaran udara di Hanoi, Vietnam. FOTO Reuters.
Reuters

Hanoi: Semua penerbangan di lapangan terbang antarabangsa di Hanoi, ditangguh atau dilencongkan, hari ini susulan kabus tebal dan pencemaran udara yang semakin teruk, kata pegawai lapangan terbang.

Air Visual, pemantau indeks kualiti udara dalam talian bebas, berkata paras zarah kecil berbahaya dikenali sebagai PM2.5 di ruang udara Hanoi berada pada paras paling tinggi iaitu 257 mikrogram setiap meter padu awal Jumaat.

"Semua penerbangan masuk sedang dilencongkan ke bandar lain, termasuk Haiphong atau Danang.

"Malah, tiada penerbangan yang boleh berlepas ketika ini," kata seorang pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, yang enggan namanya disiarkan.

Hampir 100 pesawat di lapangan terbang di ibu negara berkenaan terjejas, lapor media kerajaan, memetik pihak berkuasa lapangan terbang.

Syarikat penerbangan tambang murah Vietnam Vietjet berkata beberapa penerbangannya yang dijadualkan mendarat di Hanoi dilencongkan dan mendarat di Bandar Haiphong.

Pencemaran udara di Hanoi secara konsisten disenaraikan antara yang tertinggi di dunia, dengan pihak berkuasa kesihatan menasihati orang ramai untuk memakai topeng dan mengehadkan aktiviti luar, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 2:47 PM