PESAWAT di Palma de Mallorca. FOTO EPA
PESAWAT di Palma de Mallorca. FOTO EPA
AFP

Madrid: Salah satu lapangan terbang tersibuk di Sepanyol, Palma de Mallorca terpaksa ditutup hampir empat jam selepas beberapa penumpang lari apabila pesawat melakukan pendaratan cemas, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.

Pesawat yang dalam perjalanan antara Maghribi dan Turki itu dilencongkan ke pulau Mediterranean, Mallorca pada hari Jumaat berikutan seorang penumpang mengadu sakit, pasukan polis Pengawal Awam memberitahu AFP.

Ketika pemindahan pengembara yang dikatakan sakit itu, kira-kira 20 penumpang mengambil kesempatan melarikan diri ketika pesawat itu berada di landasan.

Dua orang ditangkap, kata polis.

Penyiasat sedang menyiasat adakah insiden perubatan kecemasan itu adalah plot rancangan penumpang memasuki Sepanyol secara haram, lapor akhbar El Pais.

Penumpang yang mengadu sakit dibawa ke hospital dan disahkan sihat serta ditahan kerana 'membantu pendatang haram'.

Seorang penumpang yang menemaninya ke hospital juga dilaporkan hilang, kata akhbar itu, yang melaporkan lima orang ditangkap termasuk rakan subahat.

Menurut pesawat FlightRadar24, pesawat yang dilencongkan itu ialah Air Arabia Maroc Airbus A320 dalam penerbangan antara Casablanca dan Istanbul.

Disebabkan insiden itu, 13 pesawat yang menuju ke Palma dilencongkan ke lapangan terbang lain, manakala 16 penerbangan lain mengalami kelewatan, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.

Lapangan terbang itu dibuka semula sekitar tengah malam Jumaat selepas ditutup selama kira-kira empat jam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 1:48 PM