ARAB Saudi mengingatkan jemaah wanita supaya berpakaian mengikut peraturan ditetapkan sepanjang menunaikan umrah. FOTO AFP.
ARAB Saudi mengingatkan jemaah wanita supaya berpakaian mengikut peraturan ditetapkan sepanjang menunaikan umrah. FOTO AFP.
Agensi

Riyadh: Pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan etika berpakaian khas bagi wanita yang mengerjakan umrah dan ziarah kecil di Masjidil Haram.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, jemaah itu dibenar memakai pakaian disukai semasa menunaikan ibadah, dengan syarat mematuhi peraturan tertentu yang ditetapkan.

"Pakaian dikenakan mestilah longgar, tiada perhiasan dan menutup sepenuhnya badan wanita (aurat)," kata kementerian itu di platform X yang sebelum ini dikenali Twitter.

Peraturan itu diketengah semula ketika peningkatan jemaah pada musim umrah ini.

Arab Saudi menjangkakan kira-kira 10 juta umat Islam dari pelbagai negara akan menunaikan umrah di Masjidil Haram, yang bermula sejak dua bulan lalu.

Musim itu bermula selepas berakhirnya ibadah haji yang disempurnakan kira-kira 1.8 juta umat Islam, buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun selepas sekatan akibat pandemik Covid-19 ditarik balik.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Arab Saudi menyediakan pelbagai kemudahan untuk umat Islam mengerjakan umrah, termasuk kelonggaran visa.

Umat Islam yang memegang visa peribadi, lawatan dan pelancong dibenar untuk mengerjakan umrah dan melawat Al Rawda Al Sharifa, tempat letaknya makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi menerusi tempahan dalam talian.

Pihak berkuasa Saudi juga melanjutkan visa umrah daripada 30 hari kepada 90 hari dan membenarkan pemegangnya memasuki negara melalui semua saluran darat, udara dan laut serta keluar dari mana-mana lapangan terbang.

Selain itu, jemaah wanita tidak lagi perlu diiringi mahram lelaki dan kerajaan itu membenarkan ekspatriat yang menetap di negara Majlis Kerjasama Teluk untuk memohon visa pelancong tanpa mengira profesion dan boleh menunaikan umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 11:21 AM