GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mengingatkan jemaah negara ini, jangan membuat sebarang bayaran sebelum memperoleh bukti Visa Haji Jemputan diluluskan.

Presidennya, Datuk Dr Mohd Khalid Harun menjelaskan kebiasaannya visa berkenaan diluluskan pada saat akhir.

Justeru, beliau menasihatkan jemaah membeli tempat penginapan di Makkah dan Madinah, khemah di Arafah serta pengangkutan melalui portal rasmi yang disediakan Kementerian Haji Arab Saudi.

"MATA ingin mengingatkan bakal jemaah haji yang membeli pakej haji dengan menggunakan Visa Haji Jemputan untuk lebih berhati-hati, sebelum membuat sebarang bayaran kepada mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan pakej haji menggunakan visa berkenaan.

"Ini kerana, saban tahun kita dihidangkan dengan pelbagai berita mengenai Jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah dan sebagainya.

"Kebiasaannya selepas sambutan Aidilfitri, ada pihak tertentu akan bergiat aktif mempromosikan pakej-pakej haji mereka, dengan memberi pelbagai janji yang boleh menarik minat jemaah untuk membeli pakej haji mereka dengan membuat bayaran penuh," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kenyataan itu menyusul selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) pada petang tadi, menasihatkan umat Islam terutama bakal jemaah umrah di negara ini, supaya tidak menyalahgunakan kemudahan visa pelancong dan visa umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Dalam satu kenyataan, Motac mengingatkan syarikat pengendali umrah dan jemaah supaya menyelesaikan ibadah umrah sebelum sesi musim haji yang dijangka akan bermula pada minggu ketiga Jun ini.

Menurut Mohd Khalid, pihaknya menyokong tindakan Motac yang mengeluarkan siaran media pada hari ini, untuk menyarankan jemaah umrah tempatan supaya jangan menyalahgunakan Visa Umrah atau Visa Pelancong bagi tujuan mengerjakan ibadat haji.

Beliau mendedahkan ada yang tinggal lebih masa di Arab Saudi sehingga masuk ke musim haji.

"Perlu diingatkan Visa Umrah atau Visa Pelancong tidak boleh digunakan bagi ibadah haji tanpa permit yang sah. Ia menjadi satu kesalahan mengikut undang-undang Arab Saudi," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 10:25 PM