NANCY (kanan)  melepaskan peserta program 10,000 Langkah Semangat Merdeka. FOTO Samadi Ahmad
NANCY (kanan) melepaskan peserta program 10,000 Langkah Semangat Merdeka. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Lambakan jemaah umrah yang berlaku ketika ini adalah di luar bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MOTAC mempunyai terma dan syarat khusus dikenakan terhadap syarikat berdaftar dengan kementeriannya bagi menjalankan industri itu.

Menurutnya, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini, mengumumkan umat Islam yang memperoleh visa pelancong dan visa komersial dibenarkan menunaikan ibadah umrah di Makkah semasa berada di negara itu.

Katanya, kebenaran baharu itu membuatkan ramai individu menunaikan umrah secara sendiri dan di luar pengetahuan pihaknya.

"Sekiranya mereka menggunakan perkhidmatan syarikat umrah, pergerakan jemaah ini mudah untuk dipantau termasuk mengesan syarikat yang bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang insiden," katanya pada program 10,000 Langkah Semangat Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Kementeriannya di perkarangan MOTAC di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan kira-kira 20,000 hingga 30,000 bakal jemaah umrah yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci bulan ini, terpaksa menangguh perjalanan masing-masing berikutan jumlah penerbangan harian ke Arab Saudi menyusut dengan ketara.

Nancy berkata, tanggungjawab mengendalikan umrah adalah di bawah syarikat dan sekiranya terdapat pelanggaran syarat dan terma boleh diambil tindakan.

Katanya, individu yang memilih mengerjakan umrah menggunakan visa pelancongan adalah di luar bidang kuasa kementerian dan mereka boleh membuat pilihan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 12:33 PM