PENDUDUK membantu menarik kenderaan yang tersekat di kawasan banjir di Logar, Afghanistan. FOTO Reuters
PENDUDUK membantu menarik kenderaan yang tersekat di kawasan banjir di Logar, Afghanistan. FOTO Reuters
Reuters

Kabul: Banjir yang melanda Afghanistan, bulan ini, mengorbankan lebih 180 mangsa hingga membuatkan Taliban terpaksa merayu bantuan antarabangsa.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, pihaknya tidak mampu menguruskan banjir secara bersendirian.

"Kami meminta dunia, pertubuhan antarabangsa dan negara Islam untuk membantu kami.

"Seramai 182 orang terkorban akibat banjir bulan ini, dan 250 lagi cedera.

"Lebih 3,100 rumah musnah sepenuhnya dan beribu-ribu ternakan terkorban," katanya pada sidang media.

Di daerah Khoshi di tengah wilayah Logar, pekerja bantuan menggambarkan kemusnahan yang meluas akibat banjir besar sejak beberapa hari lalu, dengan ladang tanaman menjadi lumpur dan mayat haiwan mati bergelimpangan.

Ketua Wilayah Tengah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Afghanistan, Anne Kindrachuk berkata, kira-kira puluhan orang di daerah itu terjejas akibat banjir dan 20 orang termasuk sekurang-kurangnya enam kanak-kanak terbunuh dengan dua lagi hilang.

"Orang ramai kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata.

"Terdapat tiga komuniti khemah atau kem tetapi (orang ramai) tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya, bagaimana mereka akan makan pada musim sejuk ini dan mata pencarian mereka musnah," katanya selepas melawat kawasan itu.

Banjir mengakibatkan kemusnahan yang meluas di wilayah tengah dan timur Afghanistan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Ia menghanyutkan beribu-ribu rumah dan memburukkan lagi krisis ekonomi dan kemanusiaan negara itu.

Selain itu, Afghanistan juga dilanda bencana alam lain pada tahun ini, termasuk kemarau dan gempa bumi yang mengorbankan lebih 1,000 orang pada Jun lalu.

Negara itu sebahagian besarnya terputus daripada sistem kewangan antarabangsa sejak Taliban mengambil alih pemerintahan setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 10:07 AM