Kuala Lumpur: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan ke atas Sekolah Tentera dan Kolej Ijazah di Peshawar, Pakistan yang mengakibatkan kehilangan 141 nyawa termasuk kanak-kanak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan kepada rakan sejawatnya dari Pakistan Nawaz Sharif semalam berkata, Malaysia menganggap serangan ke atas kanak–kanak itu atas apa juga tujuan yang diperjuangkan adalah tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata, kerajaan menzahirkan takziah dan rasa simpati kepada kerajaan dan rakyat negara itu serta keluarga mangsa yang terbabit dalam serangan tersebut.

“Malaysia mengutuk keras serangan dilakukan yang mengakibatkan kehilangan 141 nyawa termasuk 132 kanak–kanak yang juga pelajar sekolah berkenaan, selain mencederakan ramai pelajar dan pendidik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar di Putrajaya.

Selasa lalu seramai 141 orang maut apabila pemisah Taliban menyerbu masuk sekolah terbabit di barat laut bandar Peshawar itu dan masuk ke setiap bilik sambil menembak kanak-kanak ketika drama serangan selama lapan jam.

Serangan kejam didakwa dilakukan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) itu sebagai membalas dendam terhadap serangan tentera ke atas pemisah sebelum ini, dikutuk masyarakat dunia.

Tindakan pemisah tersebut menyebabkan kerajaan Pakistan dan tentera mengulangi azam untuk menumpaskan kumpulan yang sudah membunuh beribu-ribu orang sejak kemunculan pada tahun 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:20 AM